SAN FRANCISCO 9 Julai - Apple semalam menyatakan pihaknya sedang memperbaiki satu kelemahan dalam beberapa produk popularnya termasuk iPad, iPhone dan iPod Touch yang menyebabkan gajet-gajet berkenaan mudah digodam.
Jurutera di firmanya di California kini memperbaiki kelemahan berkenaan selepas dimaklumkan oleh Pejabat Keselamatan Maklumat Persekutuan Jerman (BSI).
“Apple mengambil perhatian serius mengenai masalah keselamatan.
“Kami sedar tentang isu ini dan cuba menyelesaikannya. Kami sedang memperbaikinya dan ia boleh diperolehi dalam perisian yang dikemas kini nanti,’’ kata jurucakap syarikat itu, Trudy Muller kepada AFP.
BSI minggu ini memberi amaran mengenai kecacatan itu yang membenarkan penggodam menceroboh alat mudah alih Apple dengan mengelirukan pengguna menggunakan sejenis fail dokumen yang mengandungi kod komputer.
Walaupun tiada laporan mengenai produk berkenaan digodam, namun penggodam dijangka mengeksploitasi kelemahan itu, kata agensi itu dalam laman webnya.
BSI berkata, penggodam mungkin mencuri kata laluan, mesej emel, senarai orang hubungan, mendengar perbualan telefon atau mendapatkan maklumat lokasi pengguna.
Agensi itu mencadangkan pengguna Apple tidak membuka sebarang dokumen daripada orang yang tidak dikenali.
Pengguna gajet Apple juga perlu mengehadkan pencarian laman web dan mengelak daripada mengakses pautan ke laman web tidak diketahui. – AFP