CHERAS - Penghuni tingkat 10 Pangsapuri Sri Shamelin, di sini, gempar seketika setelah dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dari sebuah rumah di tingkat sama, yang kemudiannya terbakar dalam kejadian pagi semalam.
Susulan letupan dipercayai berpunca dari tong gas memasak (LPG), rumah terbabit diliputi asap tebal serta api, menyebabkan semua penghuni tingkat itu lari bertempiaran menyelamatkan diri sebelum menghubungi bomba.
Penolong Penguasa Bomba Jalan Maharajalela, Wan Irlinda Wan Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 11.36 pagi, sebelum empat jentera dengan 30 anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat dan memadam kebakaran.
Beliau berkata, ketika tiba di kawasan kejadian, asap tebal memenuhi seluruh kediaman tersebut dan premis berada dalam keadaan berkunci kerana penghuninya keluar bekerja.
Menurutnya, usaha untuk memadamkan kebakaran juga sukar kerana masalah bekalan air dan pihaknya terpaksa menggunakan kren untuk memancut air dari belakang rumah bagi memudahkan kerja memadam dilakukan.
“Api bagaimanapun dapat dipadamkan dan dikawal sepenuhnya kira-kira jam 12 tengah hari. Siasatan awal menunjukkan premis itu musnah 100 peratus dan kebakaran disyaki bermula dari dapur akibat kebocoran tabung gas, sebelum merebak dan membakar keseluruhan rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Wan Irlinda berkata, punca sebenar hanya akan diketahui selepas pasukan forensik bomba selesai menjalankan siasatan.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian, tiada sesiapa di rumah. Anggaran kerugian juga masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, penyewa rumah terbabit, M Gunaselan, 36, yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, ketika kejadian dia dan isterinya, G Santha, 35, tiada di rumah kerana keluar bekerja, manakala anak lelaki mereka berusia lima tahun berada di sekolah tadika di Kampung Pandan.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian selepas isterinya menghubungi menerusi telefon dan segera bergegas pulang ke rumah.
“Saya tidak tahu bagaimana kebakaran boleh berlaku kerana kali terakhir isteri memasak malam tadi (kelmarin) dan pagi tadi (semalam) dia hanya menjerang air untuk memandikan anak kami.
“Semua barang termasuk komputer riba, televisyen serta duit tunai berjumlah RM1,000 turut musnah dalam kebakaran,” katanya.
Dalam perkembangan sama, jiran mangsa, Nur Ezuani Saberi, 20, berkata, sebelum kejadian berlaku, dia dan dua lagi rakannya baru pulang dari kolej dan melalui depan rumah mangsa kira-kira jam 11.30 pagi.
“Kami ada terbau gas dan bercadang mengetuk rumah mangsa bertanyakan hal itu. Tapi tiada sesiapa di rumah menyebabkan niat kami terbantut.
“Tidak sampai lima minit, tiba-tiba berlaku letupan kuat sehingga rumah bergegar. Kami nampak rumah terbabit dipenuhi asap dan api, lalu terus ambil barang berharga dan keluar dari rumah bimbang kejadian lebih buruk berlaku,” katanya.
sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/gempar-tong-gas-meletup-1.24905