BUTTERWORTH - Seorang suri rumah melecur seluruh badan selepas disambar api apabila tong gas masak di rumahnya di Flat Taman Pandan, Jalan Ong Yee How di sini meletup awal pagi semalam.
Letupan pada jam 7.30 pagi itu berlaku ketika wanita berusia 50-an membuka pili pancuran air panas di dalam bilik air bersebelahan dapur rumahnya untuk mandi.
Mangsa dikatakan tercampak keluar dari bilik mandi kaca di rumahnya dan terbakar sebelum sempat diselamatkan oleh suaminya sejurus selepas itu.
Ketika kejadian mangsa dan suaminya sahaja yang berada di rumah mereka di tingkat bawah flat setinggi 10 tingkat, manakala anak-anak mereka tinggal di rumah berasingan sekitar daerah ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba Butterworth, Pegawai Bomba Kanan Johari Wahab yang dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu sekitar jam 7.45 pagi semalam.
“Ketika tiba, wanita itu diberi bantuan awal oleh suaminya sebelum dibantu anggota ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Kita tidak dapat menjelaskan punca sebenar letupan tetapi tidak menolak kemungkinan ia berkait rapat dengan gas yang bocor bertembung dengan suhu panas dari air pancuran itu,” katanya.
Menurutnya, siasatan kini lebih menjurus kepada saluran paip yang mungkin bocor menyebabkan gas dari tong masak itu merebak sebelum meletup.
“Ketika kejadian, wanita itu tidak memasak kerana baru bangun tidur,” katanya.
Johari berkata, kesan letupan itu agak kuat apabila beberapa keping kaca pintu dan tingkap rumah pasangan itu pecah serta bertaburan bukan sahaja di dalam tetapi ke luar rumah.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/wanita-nyaris-maut-tong-gas-meletup-1.106674