Janji gegar gol Bahrain
Oleh AZLAN MUHAMMAD ZAIN
azlanmz@hmetro.com.my
TERAJU...Zubir (no 3) mengetuai barisan negara bersalam dengan pemain Syria selepas tewas 0-2 di pelawanan kelayakan Olimpik 2012, Rabu lalu.
JENTERA serangan skuad Olimpik negara menjadi tumpuan utama jutaan rakyat Malaysia bagi memburu gol kemenangan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Malah ini adalah detik terbaik kepada barisan penyerang negara membuktikan kemampuan selepas dikritik pelbagai pihak kerana kegagalan meledak gol pada Sukan Sea Indonesia dan bertemu Syria, Rabu lalu.
Situasi memang sukar untuk skuad negara akibat kecederaan beberapa tonggak utama yang sering menjadi sandaran menjaringkan gol seperti Izzaq Faris Ramlan, Syahrul Azwari Ibrahim, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Irfan Fazail.
Pengendali skuad negara yang mempertahankan emas Sukan Sea Indonesia, Ong Kim Swee mengaku perkara paling penting malam ini adalah menjaringkan gol.
“Bagi saya tidak penting siapa menjadi penyerang asalkan kita mampu menjaringkan gol dan meraih tiga mata penting,” katanya pada sidang media semalam.
Beliau kini memiliki Ahmad Hazwan Bakri dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir untuk diturunkan selain A Thamil Arasu dan Ahmad Fakri Saarani.
“Saya turut sedia memberikan peranan lebih kepada Mohamad Nazmi Faiz Mansor terutamanya dalam membantu jentera serangan,” katanya.
Menurut pengendali dari Melaka itu lagi, corak permainan Bahrain tidak banyak berbeza dengan dua pasukan yang pernah Malaysia bertemu sebelum ini iaitu Syria dan Lubnan.
“Teknik mereka bagus, laju dan menggunakan hantaran jauh. Saya yakin pemain mampu menanganinya dengan lebih baik kali ini.
“Selain itu tumpuan latihan kami juga terarah kepada teknik individu walaupun pemain sebenarnya belum seratus peratus pulih daripada keletihan,” katanya.
Peluang tiga tonggak, Syahrul Azwari, Ifran Fazail dan Mohd Muslim Ahmad diturunkan masih samar dan perlu menunggu hingga saat akhir.
Jurulatih Bahrain, Salman Shareeda mengaku perlawanan ini penting bagi kedua-dua pasukan jika ingin menghidupkan peluang untuk terus bersaing.
“Kami ke sini untuk mengutip tiga mata namun ia bukan perkara mudah kerana lawan bagus selain sokongan penyokong yang ramai.
“Kami sudah menyesuaikan diri dengan keadaan di sini dan bersedia untuk beraksi,” katanya.
Skuad Olimpik negara dan Bahrain perlu menang bagi memburu sekurang-kurangnya tempat kedua Kumpulan C Kelayakan Sukan Olimpik 2012 Zon Asia.
Malaysia tewas 0-2 pada perlawanan pembukaan kepada gergasi Asia, Jepun pada September lalu sebelum tunduk dengan jaringan sama kepada Syria.