MASHAVA, Zimbabwe - Susan Dhliwayo tergamam ketika dia memberhentikan keretanya kerana ikhlas mahu menumpangkan sekumpulan pengembara lelaki baru-baru ini tetapi mereka menolak pelawaannya.
Puncanya adalah kerana lelaki itu bimbang akan dirogol.
Zimbabwe kini digemparkan dengan laporan sensasi bahawa terdapat geng wanita cantik merogol beberapa pengembara lelaki dan meletakkan sperma mereka di dalam kondom bagi tujuan ilmu hitam.
"Sekarang ini, lelaki takut kepada wanita," kata Dhliwayo yang berusia 19 tahun.
Menurutnya, para pengembara tidak akan menaiki kereta yang dipandu wanita kerana mereka tidak mempercayai lagi kaum Hawa itu.
Media Zimbabwe sebelum ini melaporkan beberapa lelaki yang ditemui di lebuh raya telah diberi ubat tidur, diugut dengan menggunakan pistol atau pisau dan diberikan ubat perangsang seks sebelum mereka dirogol berulang kali dan ditinggalkan di tepi jalan.
Berita tentang kumpulan perogol itu yang digelar 'pemburu sperma', pertama kali disiarkan di dada akhbar tempatan pada tahun 2009.
Namun, sehingga kini, polis hanya berjaya menangkap tiga wanita yang ditahan bersama satu beg plastik berisi 31 kondom terpakai. Mereka didakwa kerana memperkosa 17 lelaki.
Tiga orang yang ditangkap itu terdiri daripada Sophie Nhokwara, 26 dan adiknya, Netsai, 24, serta Rosemary Chakwizira, 28.
"Kami tidak tahu jumlah sebenar kes rogol seperti ini," kata jurucakap polis, Wayne Bvudzijena.
"Kebanyakan kes ini berlaku apabila mangsa menumpang kenderaan persendirian. Kami menggalakkan orang ramai agar menggunakan kenderaan awam."
Menurutnya, tujuan sperma itu diambil si mangsa masih tidak jelas tetapi ia dipercayai digunakan dalam amalan sihir yang dikenali sebagai 'juju' atau upacara membawa tuah termasuk bagi tujuaan mendatangkan kekayaan, melariskan perniagaan dan mengelak penjenayah daripada dikesan.
"Isu ini sukar untuk difahami," kata pakar sosiologi Universiti Zimbabwe, Watch Ruparanganda.
"Apa yang jelas sperma ini digunakan dalam upacara ilmu hitam," tambahnya.
Ruparanganda berkata, beliau hairan apabila mendapati sperma menjadi barangan komoditi ketika dia sedang melakukan kajian sosial di Harare tujuh tahun lalu.
Dia diberitahu oleh remaja jalanan bahawa ahli-ahli perniagaan akan membawa mereka ke hotel bagi tujuan seks.
Seorang pemuda berusia 24 tahun, Tende Marahu turut mengesahkan perkara tersebut.
Menurutnya, beberapa lelaki dan wanita datang untuk mengambil lelaki di kawasan kejiranannya bagi mendapatkan sperma yang dikumpulkan dalam kondom selepas mereka melakukan hubungan seks.
"Perkara ini telah lama berlaku," katanya.
Amalan songsang tersebut turut dikecam Persatuan Pengamal Perubatan Tradisonal Zimbabwe.
"Kami percaya amalan ini adalah sihir dan kami mengecamnya," kata jurucakap persatuan berkenaan, George Kandiyero.
Menurutnya, pemburu sperma tidak akan mengambil sperma kekasih atau suami mereka untuk upacara juju kerana ia boleh memudaratkan lelaki itu. - AFP
sumber:http://infoisusemasa.blogspot.com/2012/03/lelaki-takut-diperkosa-wanita.html