Api yang dipercayai bermula di bahagian ruang tamu, marak dengan cepat memusnahkan keseluruhan rumah hingga Noor Azniza sekeluarga tinggal sehelai sepinggang
Noor Azniza menguis sisa kebakaran mencari barangan hantaran kahwinnya yang musnah setelah rumah sewa yang dihuninya sekeluarga musnah dalam kebakaran di Kampung Mak Chili Paya,
CHUKAI – “Saya memang terdetik untuk bawa bersama wang belanja kahwin sebanyak RM3,500 yang disimpan dalam bilik tidur ketika mahu keluar bekerja pagi tadi, tapi apabila terfikir tidak selamat saya bawa tunai sebanyak itu, saya batalkan hasrat.
“Namun, saya tak sangka rasa tidak sedap hati itu jadi petanda musibah menimpa kami sekeluarga,” kata bakal pengantin baru, Noor Azniza Muda, 25, yang berputih mata apabila rumahnya hangus bersama wang belanja kahwin dan barang hantaran dalam kebakaran di Kampung Mak Chili Paya, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu menyebabkan Noor Azniza bersama kedua ibu bapa dan 11 ahli keluarganya yang lain tinggal sehelai sepinggang dan menanggung kerugian kira-kira RM60,000.
Lebih menyedihkan, hasratnya untuk diijabkabulkan dengan tunang tercinta, Mohd Rizal Abdul Kadir, 29, pada 22 Februari depan terpaksa ditangguhkan kerana kejadian malang itu.
Noor Azniza berkata, kesemua bunga telur dan barang hantaran yang dibeli iaitu set alat mekap, beg dan kasut musnah bersama lima bentuk cincin miliknya termasuk cincin merisik serta cincin pertunangan.
“Duit RM3,500 itu saya mahu guna untuk beli gelang tangan, cenderahati kepada tetamu dan barang kenduri yang lain, sebab itu saya simpan dalam bilik tidur kerana saya mahu berbelanja di Kuantan, Jumaat ni.
“Dengan keadaan begini terpaksalah kenduri ditangguhkan,” katanya anak kelima dari enam beradik ini yang menerima panggilan mengenai kebakaran itu ketika berada di tempat kerja di bengkel alat ganti kenderaan, di Chukai.
RM2,300 untuk beli beras turut dimamah api
Ketika kebakaran, hanya tiga ahli keluarganya berada di rumah sementara bapa, Muda Mat Jin, 60, dan ibunya, Wan Fatimah Wan Gusin, 65, keluar mengedarkan kad undangan perkahwinannya itu.
Menurut Wan Fatimah, berikutan kebakaran itu, tunai RM2,300 yang mahu digunakan untuk membeli beras dan rempah ratus untuk kenduri yang disimpan dalam bilik tidurnya juga tidak dapat diselamatkan.
“Nasib baik saya bawa barang beberapa utas kemas untuk digadai bagi menampung perbelanjaan kahwin anak. Tetapi rantai yang paling besar, iaitu bernilai kira-kira lebih RM10,000 saya tidak bawa.
“Masa mahu keluar rumah tadi, hati saya sebenarnya berbelah bahagi antara mahu pergi dengan tidak, namun selepas suami mengingatkan yang kami sudah kesuntukan masa untuk edar kad kerana mahu uruskan urusan pembelian lembu pula, jadi saya keluar juga bersama suami,” katanya yang tinggal di rumah itu bersama lima anak dan tujuh cucu.
Anak cedera di muka terpercik api
Turut dimamah api, tiga motosikal, sebuah peti beku, dua peti ais, mesin basuh, dua televisyen, dua mesin menebas rumput, sofa dan 12 biji tilam.
Gara-gara kejadian itu, anak saudara Noor Azniza, Muhammad Syawal, 2, mengalami kecederaan di pipi kiri kerana terpercik api ketika melarikan diri keluar dari rumah.
Kakak Noor Azniza, Noor Azlinda, 28, berkata, ketika kejadian, dia dan seorang lagi adiknya, Noor Azmizan Shah, 22, sedang leka memasak di dapur sebelum adiknya keluar ke ruang tamu menjerit memberitahu terdapat api yang membakar sofa di depan televisyen.
Terkejut dengan kejadian itu, ibu enam anak ini segera mendukung anak dan meletakkan di luar rumah.
“Saya segera capai paip untuk padam api, tetapi gagal sebab waktu itu tekanan air rendah dan asap pula penuhi ruang dalam rumah dengan api menjulang tinggi,” katanya yang masih kelihatan terkejut.
Rumah berkenaan disewa mangsa sekeluarga sejak 11 tahun lalu dan berikutan kejadian itu, mereka sekeluarga terpaksa tinggal di balai raya kampung berkenaan buat sementara waktu.
17 anggota bomba padam api
Dalam pada itu, Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Chukai dan Balai Kemaman dengan kekuatan seramai 17 anggota dan tiga jentera berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya kira-kira jam 1.07 tengah hari.
Ketua operasinya, Omar Che Kob berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.14 tengah hari dan tiba di tempat kejadian pada jam 12.26 tengah hari.
“Bagaimanapun punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.
SUMBER:http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/bakal-pengantin-putih-mata-1.128572