KUALA TERENGGANU - Dua orang peragut yang meragut seorang jurujual dipukul orang ramai dalam kejadian di Jalan Sultan Mahmud di sini Sabtu lalu.
Kedua-duanya yang juga buruh binaan sebelum itu turut melarikan diri dari polis selepas melakukan jenayah itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K.Manoharan berkata peragut sebelum itu meragut jurujual berumur 27 tahun berkenaan kira-kira pukul 10 malam di hadapan Masjid Al-Muktafi Billah Shah.
Beliau berkata mangsa yang menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya telah dihimpit motosikal yang dinaiki peragut dan merampas beg tangan mangsa yang diletak di dalam bakul motosikal sebelum suspek melarilkan diri.
"Mangsa yang panik dengan kejadian itu bertindak menekan hon motosikalnya bagi mendapat perhatian orang ramai yang telah disedari seorang anggota polis yang berada tidak jauh dari tempat kejadian.
"Anggota itu bertindak mengejar peragut dengan keretanya sehingga peragut mencampak beg tangan mangsa di tengah jalan berhadapan Stadium Negeri. Para peragut terus melarikan diri sebelum diberkas dan dipukul pula oleh sekumpulan orang awam yang berada tidak jauh dari situ.
"Akibat pukulan itu, kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Gong Sentul cedera di pipi dan mata," kata Manoharan.
Beliau berkata kedua-dua suspek yang turut positif dadah dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes ragut di sekitar bandaraya ini.
Mereka kini direman untuk disiasat kerana menyamun. - Bernama