Api kelihatan marak di salah sebuah gudang tersebut
IPOH - Sebuah kereta mewah jenis Porsche bernilai jutaan ringgit dipercayai antara yang musnah dalam kejadian kebakaran melibatkan tiga gudang di Kawasan Perindustrian Ringan Bercham, awal pagi semalam.
Dua daripada tiga gudang itu adalah tempat penyimpanan sarung tangan manakala sebuah lagi menyimpan barangan jualan sebuah pasar raya terkemuka di bandar raya ini.
Selain itu, beberapa letupan kecil berlaku dipercayai akibat bahan kimia yang terdapat dalam gudang penyimpanan sarung tangan.
Seorang pekerja gudang yang enggan dikenali menyatakan, premis itu mula berpindah di kawasan berkenaan sejak 2007.
Menurutnya, ketika kejadian, seorang pengawal keselamatan berada di kawasan gudang dan dia sempat menyelamatkan diri.
“Manakala, Porsche yang dianggarkan bernilai RM6 juta disimpan majikan yang bercuti ke Indonesia dan sebuah lori musnah dalam kebakaran itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Kerugian akibat kemalangan itu dianggarkan mencecah lebih RM10 juta ringgit.
Sementara itu, Ketua Zon Perak Pusat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ruhisha Haris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 4.47 pagi.
Jelasnya, ketika jentera pertama tiba di lokasi pada jam 5.08 pagi, ketiga-tiga kilang tersebut sudah 70 peratus terbakar.
"Seramai 42 anggota dan pegawai termasuk empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Simpang Pulai dan Pasir Putih dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran itu berjaya dikawal kira-kira jam 6.40 pagi,” ujarnya.
Ruhisha berkata, anggotanya terus menjalankan pemantauan di bahagian luar kerana struktur bangunan didapati tidak selamat.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca sebenar dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/porsche-dalam-gudang-musnah-1.151986