Elizaberth menunjukkan kecederaan yang dialami di bahagian bawah telinganya.
IPOH – Seorang guru warga Britain bukan sahaja kerugian hampir RM3,000, malah mangsa turut cedera akibat dikasari ahli sindiket gores dan menang ketika cuba untuk mendapatkan kembali wangnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang, Isnin lalu, mangsa, Elizaberth Morag, 42, dihampiri sekumpulan dua wanita dan dua lelaki di kawasan letak kenderaan sebuah pasar raya di Medan Ipoh, di sini yang kemudiannya memujuknya menyertai pertandingan gores dan menang.
Elizaberth berkata, kumpulan berkenaan menjanjikan hadiah lumayan akan diperolehi sekiranya menyertai peraduan itu.
“Saya memang tak yakin dengan peraduan seperti ini, tetapi ketika menolak, mereka memaksa saya membuka salah satu kad yang menyatakan kononnya saya memenangi tilam mewah,” katanya.
Kumpulan berkenaan kemudiannya mengarahkan mangsa ke pejabat sindiket berkenaan untuk menebus hadiah sebelum diarah membayar RM6,500 sebagai tebusan mendapatkan hadiah yang ditawarkan.
Elizaberth berkata, meskipun dia beberapa kali menolak, kumpulan berkenaan tetap memaksanya membuat pembayaran menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan wang melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Bercham sebanyak RM3,000.
“Kembali ke pejabat itu, mereka terus merampas wang daripada tangan saya dan meminta saya menandatangani satu dokumen perjanjian yang mengandungi maklumat mengelirukan.
“Ketika itulah saya bertegas dan meminta wang dikembalikan, namun mereka memukul dan menumbuk sebelum menghalau saya keluar,” katanya.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bawah telinga.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan menerima laporan berhubung kes penipuan itu dan memkalumkan, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenalpasti individu yang terlibat.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/guru-jadi-mangsa-samseng-gores-dan-menang-1.163091