LONDON: Pemain gitar kumpulan rock Queen yang juga pakar astrofizik, Brian May, dilantik sebagai canselor University Liverpool John Moores, kata satu kenyataan universiti itu lewat semalam.
Kenyataan itu berkata pelantikan May sebagai ketua universiti berkuat kuasa awal tahun depan, menggantikan Cherrie Booth, isteri bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.
May menerima ijazah doktor falsafah di Kolej Imperial London Ogos lalu berikutan penyelidikannya mengenai astronomi. Beliau sebelum ini adalah felo kehormat Universiti John Moores yang sejak sekian lama terkenal sebagai institut penyelidikan astrofizik.
May adalah pelajar Kolej Imperial ketika beliau menyertai Freddie Mercury dan Roger Taylor, menubuhkan kumpulan Queen pada 1970, tetapi tidak meneruskan pengajian peringkat ijazah kedoktoran apabila kumpulannya mencapai kejayaan.
Queen menjadi antara kumpulan penyanyi rock Britain paling terkemuka pada era 1970-an dengan pelbagai lagu hit termasuk 'Bohemian Rhapsodi' dan 'We Will Rock You'.
May bagaimanapun meneruskan minatnya di bidang astronomi dan tahun lalu beliau menjadi penulis bersama sebuah buku berjudul 'Bang! The Complete History of the Universe'.