[url=mailto://][/url]
DRAMA konflik rumah tangga Maia Estianty dan Ahmad Dhani Prasetyo, kini masuk babak baru.
Niat Maia untuk menuntut cerai daripada Dhani, vokalis kumpulan Dewa, nampaknya sudah nekad. Keputusan ini diambil selepas mendapati rundingan yang dilakukan Kak Seto dan KPAI tidak banyak membantu menjernihkan suasana dalam hubungan mereka berdua.
Ketua kumpulan duo Ratu itu sebelum ini meletakkan harapan mahligai rumah tangganya kepada rundingan yang dilakukan majlis hakim Pengadilan Agama Jakarta Selatan sebagai usaha terakhir.
Maia mengaku sudah menyiapkan pelbagai rancangan termasuk membentuk kumpulan pengamal undang-undang seramai 11 orang. Selain itu, artis kelahiran Surabaya pada 22 Januari 1977 itu akan meminta majlis hakim supaya persidangan diadakan secara tertutup.
"Saya sudah nekad untuk bercerai. Ada 11 peguam akan mewakili saya. Jadi saya tidak perlu memikirkan hal lain," jelasnya.
Tambahnya lagi, dia akan hadir sidang pertama yang berupa rundingan. Proses itu sangat penting buat Maia. Dia meminta sidang dijalankan secara tertutup kerana mahu menjaga nama baik suami dan anak-anak. Dia tidak mahu membuka aib keluarga untuk dikongsi dengan pihak luar.
Maia dan peguamnya mendaftarkan tuntutan cerai kepada pihak mahkamah pada Jumaat lalu.
"Saya akan menghantar surat tuntutan cerai. Selebihnya, saya tidak mahu membicarakan mengenai rumah tangga, kerana ia akan diurus peguam," tegasnya.