[url=mailto://][/url]
CHICAGO: Satu lagi kajian menunjukkan prestasi monyet hampir menyamai pelajar kolej dalam kemahiran membuat pengiraan, sekali gus disifatkan sekumpulan penyelidik Amerika Syarikat bahawa kemahiran matematik bukan bahasa bukanlah sesuatu yang unik kepada manusia.
Kajian dari Universiti Duke dibuat berikutan satu penemuan penyelidik Jepun awal bulan ini bahawa cimpanzi muda menunjukkan prestasi lebih baik berbanding manusia dewasa dalam satu permainan memori.
Kajian sebelum ini mendapati bahawa mamalia bukan manusia itu boleh memadankan objek nombor, membandingkan nombor dan memilih nombor besar daripada dua set objek.
“Ini adalah kajian pertama yang melihat sama ada mereka boleh membuat keputusan jelas yang berdasarkan kepada jenis pengiraan matematik,” kata Jessica Cantlon, seorang penyelidik neurosains kongnitif di Universiti Duke.
“Ia menunjukkan apabila anda membuang bahasa dari seorang manusia mereka akhirnya kelihatan sama seperti monyet dari segi prestasi,” kata Cantlon dalam satu temubual telefon.
Kajian beliau membabitkan pasukan matematik monyet Boxer dan Feinstein yang keduanya betina dinamakan sempena nama senator Amerika Syarikat, Barnara Boxer dan Dianne Feinstein dari California bersama 14 pelajar Universiti Duke.
Tugasan berkenaan memerlukan mereka mengira jumlah dua set titik yang disiarkan melalui skrin komputer. Pasukan terbabit diminta memilih jawapan yang betul daripada dua pilihan di dua skrin berbeza.
Kumpulan manusia tidak dibenarkan mengira atau menggunakan bahasa seperti biasa tetapi mereka diminta menjawab secepat yang boleh. Kedua-dua monyet dan manusia terbabit memberikan jawapan dalam masa satu saat dan jawapan kedua-dua hampir sama.
Cantlon berkata kajian itu juga bukan bertujuan menunjukkan prestasi pelajar Universiti Duke.
“Saya rasa ia lebih menggunakan mamalia bukan manusia sebagai alat untuk menemui dari mana datangnya pemikiran manusia yang canggih,” katanya. - Reuters