[url=mailto://][/url]
Lelaki bertugas waktu fleksibel lebih kerap kena kanser kelenjar prostat
MOSCOW: Bertugas syif malam adalah antara faktor penyebab barah bagi golongan pekerja sekali gus membolehkan mereka mendapat hak menuntut ganti rugi bagi ancaman bahaya kerja, kata Agensi Penyelidik Barah Antarabangsa (IARC).
Faktor lain yang disenaraikan termasuk terdedah kepada sinar ultra ungu, asap enjin dan bahan kimia tertentu, lapor akhbar di sini.
Penyenaraian tugasan syif malam dibuat berdasarkan keputusan beberapa penyelidikan sebelum ini, termasuk kajian penyelidik Universiti Pekerjaan dan Kesihatan Persekitaran Jepun.
Penyelidikan mereka berdasarkan pengamatan ke atas 14,000 pekerja dalam tempoh 10 tahun.
Apa didapati, lelaki yang bertugas waktu kerja yang fleksibel dan syif malam lebih kerap mengalami masalah barah kelenjar prostat berbanding rakan yang bertugas tetap syif siang.
Di Belanda, pakar Institut Epidemiologi Barah, mengkaji 7,000 wanita berusia 30 - 54 tahun. Keputusan kajian mendapati wanita yang bertugas sekurang-kurangnya enam bulan pada waktu malam, berisiko besar mengalami masalah ketumbuhan dalam payu dara mereka.
Richard Stevens, Profesor Pusat Kesihatan Universiti Connecticut, Amerika Syarikat adalah saintis pertama yang mengaitkan antara kesan tugas malam dengan barah payu dara pada 1987.
Saintis terbabit menyelidik faktor peningkatan mendadak barah payu dara pada 1930-an apabila banyak syarikat memulakan tugasan 24 jam sehari yang menarik minat jutaan pekerja wanita.
Selain, petugas syif malam juga berisiko besar mengalami masalah jantung, seperti dibuktikan kajian penyelidik Universiti Milan, Itali, ke atas 22 lelaki yang bekerja pelbagai syif tugasan setiap minggu.
Pemantauan harian ke atas degupan jantung mereka mendapati kadar degupan, aktiviti saraf utama dan paras hormon tidak mengalami sebarang perubahan ketika bertugas syif malam.
Atau ringkasnya, aktiviti fizikal dan saraf pusat mereka masih berfungsi jika lelaki terbabit tidur kerana kesan bertugas pada syif malam.
Ketua penyelidik, Rafaello Furlan percaya yang tubuh manusia tidak boleh disesuaikan bagi menerima aktiviti malam yang menyebabkan rentak atau degupan jantung mereka bermasalah.
Bagaimanapun, saintis pula tidak tahu punca sebenar masalah itu pada masa ini. Namun, mereka menyenaraikan beberapa teori yang mengaitkan kesan tugas malam ke atas kesihatan manusia.
Asas penting dan utama adalah hakikat yang manusia adalah makhluk yang hidup pada waktu siang dan tindakan bertugas pada waktu malam dan tidur pada sebelah siang, menjejaskan degupan jantung dan menyebabkan pelbagai masalah berkaitan. - Agensi