Fiq anggap risiko tinggi Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Ganti Faizal ke Juara LaguJUARA Mentor 2, Fiq mengesahkan dia bakal menggantikan Faizal Tahir menyanyikan lagu Mahakarya Cinta ke Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL-22), 27 Januari depan.
“Iya, mereka memberi tawaran itu kepada saya. Bagaimanapun masih terlalu awal untuk saya bercakap tentang cabaran menyanyikan lagu berkenaan di acara itu nanti,’’ katanya kepada KOSMO!.
Penyanyi itu mengakui risiko besar sedang menantinya sebagai pengganti Faizal di majlis anugerah yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil itu.
Ini kerana lagu ciptaan Audi Mok itu sebuah lagu yang sangat popular dan masyarakat sudah terbiasa dengan gaya nyanyian Faizal melalui lagu berkenaan.
Justeru penyanyi ini risau sekiranya dia tidak dapat menyampaikan lagu itu dengan baik dan tentunya bakal menimbulkan kemarahan banyak pihak.
“Dari satu segi saya senang sekali dengan peluang yang diberikan.
“Tetapi saya juga risau dan bimbang. Kalau saya bawa dengan ‘hancur’ tentu banyak risiko yang perlu saya hadapi,’’ katanya.
Bagaimanapun menurut Fiq, dia akan berusaha menyampaikan lagu berkenaan mengikut caranya yang tersendiri dan dengan sebaik mungkin.
Penyanyi asal lagu Mahakarya Cinta, Faizal Tahir tidak dapat beraksi di AJL-22 ekoran larangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), baru-baru ini.
Larangan ini sebagai denda kepada Faizal atas aksi ‘buka baju’ dan tali pinggang yang dilakukannya sempena konsert ulangtahun ke-4, 8TV minggu lepas.
Faizal dilarang muncul dalam mana-mana saluran stesen televisyen swasta dalam tempoh tiga bulan bermula 15 Januari lalu.
Sementara itu, sebuah lagi lagu nyanyian Faizal yang berjaya ke AJL-22, Kasih Tercipta, bakal disampaikan oleh komposernya sendiri, Ajai.
Menurut Ajai dia lebih senang membawakan sendiri lagu berkenaan.
Ini tidak bermakna dia kurang percaya kepada kebolehan penyanyi lain.
Pada asasnya kata Ajai, dia sendiri kecewa kerana Faizal tidak dapat menyanyikan sendiri lagu berkenaan.
“Apapun saya sudah biasa bermain dengan takdir seperti ini.
“Takdir menjadikan Faizal tidak dapat muncul di AJL dan menyanyikan sendiri lagu berkenaan. Jadi saya kena bersedia pada bila-bila masa menghadapi saat-saat sukar seperti ini,’’ kata Ajai.
Menyentuh mengenai persiapan, kata Ajai tidak banyak yang mampu dilakukan memandangkan dia sudah kesuntukan masa.
Apa yang penting ialah dia akan menyampaikan lagu berkenaan dengan sebaik mungkin di pentas.
“Saya akan hanya menyanyi. Itu saja. Lagipun tak ada masalah besar sebab saya sudah selalu menyanyikan lagu itu di beberapa majlis besar sebelum ini,’’ kata Ajai.
Mengenai tanggapan mengatakan lagu berkenaan mempunyai peluang yang tipis untuk menang ekoran ketiadaan penyanyi asalnya, Ajai mempunyai tanggapan berbeza.
“Setiap lagu yang yang berjaya ke peringkat akhir sudah tentu yang terbaik.
“Saya percaya yang dinilai di anugerah ini adalah lagunya, bukan siapa penyanyinya. Asalkan boleh membawakan dengan baik, semua orang ada peluang untuk menang,’’ katanya.