Yusni Jaafar Sakit....
TUHAN nak duga orang yang dia kasih dan sayang. Sebagai hambaNya, kita cuma mampu ikhtiar dan berdoa padaNya,” demikian kata pelakon versatil, Yusni Jaafar, 62, mengenai penyakit yang dideritainya kini.
Yusni yang kini berada di tahap kritikal di Hospital Selayang sejak 31 Januari lalu selepas mengadu sakit. Sebelum ini, dia menghidap penyakit hati sejak 2005, bagaimanapun keadaan kesihatannya semakin tidak stabil sejak kebelakangan ini.
Pelakon veteran ini kini berdepan dengan komplikasi hati sehingga memberi kesan kepada kedua-dua buah pinggangnya. Selain itu dia juga menghidap penyakit kencing manis dan badannya semakin membengkak.
“Saya berterima kasih kepada doktor dan jururawat yang berdedikasi serta mengambil berat keadaan saya sekarang. Selain itu ramai juga ahli keluarga dan rakan yang datang melawat saya.
“Walaupun berada dalam keadaan kritikal, sebagai hamba-Nya kita perlu berikhtiar dan berdoa serta tidak lalai mengingati-Nya,” katanya yang kelihatan lesu dan tidak dapat bercakap banyak.
Yusni yang mendirikan rumah tangga dengan Raja Ibrahim Raja Mansor, dikurniakan lima anak iaitu Raja Iskandar, 41; Raja Ema, 39; Raja Izat, 37; Raja Emy, 30, dan Raja Irna, 23, serta sembilan cucu.
Ketika ditemui di Hospital Selayang kelmarin, kebetulan Yusni dikunjungi ramai pemimpin persatuan seni tanah air dan rakan artis.
Hadir sama isteri Yang Dipertua Negeri Melaka, Toh Puan Zurina Kassim; Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof; Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M Daud Wahid dan Presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM), Syed Mohamed Hassan Benyahya.
Turut hadir beberapa rakan artis seperti AR Badul, Wazata Zain, Hamidah Wahab, Hans Isaac, Erra Fazira dan ramai lagi. Pada masa sama, Seniman turut menyampaikan sumbangan RM1,000 dan Papita pula RM500.
Mustapha berkata, Seniman tidak pernah lupa dengan ahlinya yang sakit dan sentiasa mengikuti perkembangan Yusni di media, cuma baru kini berkesempatan melawatnya di hospital.
“Sebagai persatuan, kita simpati dengan ujian yang menimpa Yusni dan berharap dia cepat sembuh. Saya juga berharap rakan artis dan peminat dapat meluangkan masa melawatnya serta memberikan sokongan moral.
“Mudah-mudahan dengan doa kita dia kembali pulih. Insya-Allah kita akan terus memantau perkembangan kesihatannya dan akan ada susulan selepas ini,” katanya.
M Daud pula berkata, sebagai persatuan yang prihatin dengan kebajikan artis, Papita sentiasa mengambil berat soal kesihatan dan masalah lain yang menimpa ahlinya. Meskipun kadangkala wujud perbezaan ideologi, setiap persatuan seni mempunyai agenda sama iaitu menjaga kebajikan ahlinya.
“Papita ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Toh Puan Zurina yang sudi meluangkan masa melawat Yusni dan ia wajar dijadikan contoh betapa pekanya beliau dengan anak seni terutamanya dari sudut kebajikan,” katanya.
Sementara itu Sukarni Jaafar, adik Yusni berkata, kakaknya ada memberitahu dia sudah jemu makan bubur nasi di hospital dan mahu makanan lain. Jadi mereka semua berpakat menyediakan cucur badak yang dimintanya sebelum ini.
Sukarni juga memberitahu dia ingin memperbetulkan tanggapan sesetengah pihak Yusni dipinggirkan keluarga dan tidak seorang pun anaknya datang melawat. Kata Yusni, apa yang berlaku sebelum ini salah faham dan kini ia selesai dengan cara baik.
“Mungkin waktu orang tertentu datang melawat, tiada ahli keluarga di sisinya dan hanya pembantu rumah, Indrawati Ahmad yang menjaganya.
“Sebenarnya kami adik-beradik dan anak-beranak bergilir-gilir menjaganya. Raja Ema datang menjaga ibunya di sebelah malam. Manakala di siang hari, Yusni dijaga Raja Emy dan Raja Erni, sementara dua lagi anak lelaki datang bergilir-gilir. Jadi saya harap rakan artis dan peminat tidak salah tafsir ” katanya.