First topic message reminder :AKSI BERBEZA: Faizal tidak dapat menahan air mata ketika sidang media di pejabat 8TV, semalam.
Didenda kerja khidmat masyarakat 6 bulan kerana aksi kurang sopan PETALING JAYA: Stesen televisyen 8TV 'menghukum' penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti One In A Million (OIAM), Faizal Tahir dengan melakukan kerja khidmat masyarakat selama enam bulan berikutan aksi kurang sopannya ketika mengadakan persembahan di Central Park Avenue, Bandar Utama, Ahad lalu.
Pengurus Besar Kumpulan Penjenamaan 8TV, Airil Zainul, berkata penyanyi itu sudah diberikan surat amaran supaya lebih berhati-hati dan berdisiplin serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa ketika membuat sesuatu persembahan di tempat terbuka.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya belum menetapkan bentuk hukuman khidmat masyarakat yang perlu dilakukan Faizal.
"Kami di 8TV memohon maaf kepada semua atas kejadian itu tempoh hari. Kami tidak memandang remeh perkara ini dan mengarahkan Faizal melakukan kerja khidmat masyarakat selama enam bulan," katanya pada sidang media di pejabat 8TV.
Sementara itu, Faizal yang turut hadir pada majlis itu memohon maaf di atas keterlanjurannya membuka pakaian di khalayak ramai ketika mengadakan persembahan sempena sambutan ulang tahun keempat stesen 8TV itu.
Katanya, dia mengaku tindakan itu memang dirancangnya bagi tujuan menghiburkan penonton dan berseronok semata-mata.
Penyanyi berkenaan mengaku tidak berfikir panjang ketika merancang untuk beraksi sehingga membuka baju dan tali pinggang, tetapi menafikan berada di bawah pengaruh dadah.
"Saya bersih, tidak ada pengaruh luar (dadah). Saya mengaku bersalah dan sangat menyesal dengan tindakan menanggalkan pakaian malam itu. Tujuan saya hanyalah untuk keseronokan dan membuatkan penonton terhibur, tetapi saya tersalah perkiraan dan tidak berfikir panjang.
"Saya tidak berniat melukakan mana-mana pihak. Saya benar-benar menyesal dan berjanji tidak akan mengulanginya. Saya ingin memohon maaf kepada 8TV, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Faizal berkata, dia tidak berniat untuk mencetuskan kontroversi atau pun mahu meraih populariti dengan cara demikian.
Katanya, dia sentiasa teruja setiap kali membuat persembahan dan berasakan kepuasan setiap kali berbuat demikian, tetapi mengakui tindakan itu keterlaluan.
Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, pada mulanya dia tidak memikirkan impak daripada perbuatannya dan hanya menyedari tindakan itu sebagai keterlaluan sebaik selesai persembahan.
Faizal dalam persembahannya bertindak melampau apabila menanggalkan pakaian satu persatu bermula daripada jaket, singlet dan tali pinggang. Di badannya tertera huruf S yang diconteng menggunakan cat merah, perkataan berkenaan membawa maksud 'Superman' iaitu salah satu karakter yang menjadi kegilaannya.
FAIZAL yang tidak berbaju selepas menanggalkan pakaian ketika mengadakan persembahan di Central Park Avenue, Bandar Utama, Ahad lalu. di petik dari berita harian