[url=mailto://][/url]
LAS VEGAS: Bekas bintang sukan Amerika, O.J Simpson sekali lagi menjadi orang bebas selepas keluar dari penjara Las Vegas lewat kelmarin, beberapa jam selepas hakim mengecamnya sebagai ‘angkuh atau jahil’ kerana melanggar syarat ikat jamin berhubung kes rompak.
Bekas bintang NFL dan pelakon itu, menyediakan jaminan dan dibebaskan dari penjara selepas 11 malam, kelmarin.
Selepas keluar dari penjara, dia memasuki sebuah kereta Mercedes putih dan dibawa segera tanpa memberi sebarang komen kepada berpuluh wartawan yang menunggu.
Pada siang hari sebelumnya, dengan tangan digari, Simpson, 60, kelihatan muram mendengar keputusan hakim daerah mukim Clark, Jackie Glass meningkatkan jaminannya dua kali ganda kepada AS$250,000 (RM835,000).
“Saya tidak tahu apa yang anda fikirkan Encik Simpson atau itulah yang menjadi masalahnya anda tidak berfikir (ketika melanggar syarat jaminan),” kata Glass.
Peguam Simpson, Yale Galanter, berkata anak guamnya membayar jaminan dengan mengemukakan geran rumahnya.
Simpson diarah agar jangan berhubung dengan tertuduh bersama atau mana-mana saksi sebagai syarat pembebasannya, sementara menunggu perbicaraan September lalu berhubung kes merompak dua peniaga barang kenangan sukan dalam sebuah bilik hotel.
Simpson ditahan kembali kerana meninggalkan pesanan kepada salah seorang tertuduh bersama, C.J. Stewart. - AP