Kebangkitan Spurs uji UnitedLONDON: Manchester United berdepan perlawanan terbesar sehingga kini apabila pasukan bernafas baru, Tottenham Hotspur berkunjung ke Old Trafford, esok bagi perlawanan pusingan keempat kejohanan bola sepak Piala FA.
Turut menjadi tumpuan global adalah perlawanan membabitkan Arsenal yang tampak goyah ketika ini apabila melayani kunjungan Newcastle United, hari ini manakala kelab yang dilanda kontroversi, Liverpool menentang Havant and Waterlooville sambil Chelsea pula berkunjung ke Wigan pada hari yang sama.
Segar dengan rehat pertengahan musim sejuk di Arab Saudi, barisan Sir Alex Ferguson berharap dapat mengulangi jejak tiga kejuaraan 1999 apabila berdepan lawan yang sedang meniti keyakinan itu selepas membelasah Arsenal 5-1 pertengahan minggu ini.
Kemenangan itu meletakkan Spurs dalam final Piala Liga dan suasana di White Hart Lane semakin ceria dengan pendedahan Dimitar Berbatov bahawa dia gembira untuk kekal bersama kelab itu yang mengalami perubahan nasib sejak Juande Ramos mengambil alih tugas awal musim ini.
Berbatov adalah pemain yang diburu Ferguson dan pengurus berbangsa Scotland itu tahu barisan pertahanannya - kunci keutuhan United musim ini - perlu lebih tangkas untuk menangani ancaman daripada penyerang Bulgaria yang menunjukkan belang sebenarnya dalam perlawanan Selasa lalu.
United juga berharap Paul Scholes bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan esok selepas sembuh daripada kecederaan lututnya
“Scholes nampak bagus ketika latihan,” kata rakan sepasukan Owen Hargreaves. “Semua tahu kualiti yang dibawanya ke dalam pasukan ini dan jika dia dapat bermain, ia pasti memberi kelebihan besar bagi kami.”
Arsenal pula mahu bangkit daripada trauma pertengahan minggu yang diselubungi dengan konfrontasi sesama pemain di antara penyerang Emmanuel Adebayor dan Nicklas Bendtner apabila berdepan barisan Newcastle bersama teraju baru Kevin Keegan di Stadium Emirates, hari ini.
Ketua pasukan Gunners, William Gallas berkata: “Penyokong begitu kecewa, kami juga kecewa - semua di kelab ini kecewa dan kami terpaksa menerimanya,” kata pertahanan Perancis itu.
Liverpool turut sesak nafas ketika ini dan kecuali kemenangan selesa buat tuan rumah, keputusan lain pasti dianggap luar biasa dan tampak ada sedikit bahaya menunggu Liverpool sekiranya memandang rendah kunjungan lawan itu di Anfield. - Agensi