DAMSYIK: Penyanyi legenda Lubnan, Fairouz yang tiket konsertnya habis dijual di ibu kota Syria kelmarin, mencabar ahli politik yang mengkritiknya kerana membuat persembahan di negara musuh.
Diva Arab itu, yang meletup dalam rancangan muzik di Radio Damsyik pada 1952, kembali ke pentas Syria selepas tidak muncul selama dua dekad, menyebabkan ramai daripada kalangan peminatnya di Rumah Opera menangis.
Beliau memegang peranan utama dalam “Sah al-Nom”, drama muzikal mengenai pemerintah cuai yang dicabar seorang wanita miskin dan menerima tepukan gemuruh.
Pertunjukan itu dipersembahkan sebagai sebahagian sambutan kebudayaan di bandar lama di sini, dipilih sebagai ibu kota kebudayaan Arab 2008.
“Fairouz melangkaui politik. Di Damsyik, beliau sering dilayan seperti maharani,” kata pengukir Syria Mostapha Ali kepada Reuters.
Fairouz yang kini berusia 70-an dan ikon budaya dunia Arab, membangkitkan kontroversi apabila menerima jemputan daripada kerajaan Baath di sini ketika itu yang meningkatkan ketegangan di antara Syria dan jirannya, Lubnan. - AP