Liverpool terus pamer prestasi buruk di Anfield
[url=mailto://][/url]LIVERPOOL: Kapten Liverpool, Steven Gerrard mengakui keadaan tidak menentu yang menyelubungi kelab berkenaan menjejaskan prestasi pasukannya.
Keputusan seri 2-2 dengan Aston Villa di Anfield, awal pagi semalam meneruskan prestasi buruk Liverpool di gelanggang sendiri menyaksikan pasukan Rafael Benitez tercicir 14 mata berbanding pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester United.
Bagaimanapun sentimen tidak popular terhadap pemilik kelab, Tom Hicks dan George Gillett di kalangan peminat menguasai sepenuhnya pertembungan antara kelab itu dengan Villa.
Penyokong Liverpool nyata berang terhadap sikap terbaru pemilik dari Amerika Syarikat itu, yang membatalkan rancangan besar membina stadium baru, berunding dengan Jurgen Klinsmann untuk menggantikan Benitez.
Perkembangan terkini menyaksikan penyokong lebih marah apabila Hicks dan Gillett menimbang melakukan pembiayaan semula kewangan terhadap pinjaman yang mereka ambil sewaktu membeli kelab itu 11 bulan lalu, menyaksikan kelab bakal dibelit hutang.
Benitez sentiasa berhati-hati untuk tidak terjebak dalam kontroversi selepas terjerumus dalam pertikaian secara terbuka dengan Hicks dan Gillett berhubung dasar penghijrahan pemain pada November lalu.
Bagaimanapun Gerrard mendedahkan masalah yang berterusan mengundang padah dan menjelaskan betapa keadaan itu menjejaskan prestasi pemain.
Pemain tengah England itu berkata: “Ia bukan hanya minggu ini. Ia sudah berlarutan lama dan pasti ia tidak membantu pemain.
“Saya perlu berhati-hati untuk bercakap tetapi yang jelas ia tidak membantu pasukan. Kami tahu apa yang berlaku tetapi sebagai pemain kami perlu menyempurnakan tugas kami di padang dan kami perlu mengembalikan fokus terhadap perlawanan.
“Tapi mustahil untuk memberi tumpuan apabila terpaksa menelannya setiap hari.” katanya.
Namun, Benitez tidak mahu menggunakan alasan itu apabila menegaskan pasukan terpaksa menanggung akibat apabila pemain gagal mendapatkan gol kedua bagi memastikan kemenangan.
“Jika dianalisa dua atau tiga perlawanan yang menyaksikan keputusan seri di gelanggang sendiri, kita melihat pemain mencipta banyak peluang untuk menang tetapi kami melepaskan gol kedua dan melepaskan gol yang buruk, itu masalahnya.
“Memang saya faham mana-mana pemain menyatakan ia mungkin (masalah ketidak tentuan ini) menjejaskan tuah kami tetapi bagi saya, amat mudah untuk mengaitkan alasan itu tetapi saya memilih untuk menganalisa kesilapan atau mengapa kita tidak boleh menjaringkan gol,” katanya. - AFP