[url=mailto://][/url]
LOS ANGELES: Adik perempuan penyanyi pop, Britney Spears yang berusia 16 tahun dan berlakon sebagai pelajar sekolah dalam siri televisyen popular terbitan Nickelodeon, 'Zoey 101' dilaporkan hamil.
Saluran kabel itu mengesahkan satu laporan dalam edisi akan datang majalah gosip selebriti OK! Jamie Lynn Spears kini sedang mengandung.
"Kami menghormati keputusan Jamie Lynn untuk bertanggungjawab dalam situasi peribadi dan sensitif. Kami tahu ia adalah masa yang sukar untuknya dan keluarganya, dan perkara utama pada kami kini ialah keadaan Jamie Lynn," kata Nickelodeon dalam satu kenyataan yang di e-mel kepada Reuters.
Seorang pelajar sekolah menengah yang tinggal di Lousiana, Jamie Lynn dilaporkan bertemu dengan pasangannya, Casey Aldridge, anak lelaki kepada pekerja kilang kertas di Tennessee, di gereja. Pegawai publisiti peribadi Jamie Lynn tidak dapat dihubungi untuk mengulas.
Kakaknya, Britney, bukanlah contoh terbaik untuk memberi nasihat mengenai perkara itu. Bintang pop berusia 26 tahun itu, hilang hak penjagaan dua anak lelakinya, berusia dua dan setahun kepada bekas suaminya, Kevin Federline selepas perceraian mereka tahun lalu dan terbabit dengan pertikaian hak penjagaan tegang antara keduanya.
"Zoey 101," yang baru menyelesaikan musim keempat dan terakhirnya September lalu berkisar kepada pelajar keras kepala di sekolah berasrama penuh di California. Episod terbaru akan disiarkan sepanjang 2008, kata jurucakap bagi rangkaian milik Viacom Inc. Reuters