Peluang United masih terbuka
PENYERANG United, Carlos Tevez (kanan) bersaing dengan penjaga gol City, Joe Hart pada aksi di Old Trafford kelmarin.
MANCHESTER - Perancang Manchester United, Michael Carrick menegaskan perebutan juara Liga Perdana England masih lagi terbuka biarpun pasukannya dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Manchester City di Old Trafford kelmarin.
Jaringan menerusi Darius Vassell dan Benjani Mwaruwari meletakkan City mendahului 2-0 pada babak pertama, sekali gus memaksa juara bertahan, United berdepan tugas getir sepanjang babak kedua.
Lebih menarik, kejayaan yang dilakar skuad Sven-Goran Eriksson itu juga adalah yang pertama dicipta City di Old Trafford sejak tahun 1974.
"Masih ada beberapa lagi perlawanan dan saya tidak fikir (pendahulu) Arsenal akan memenangi semua baki perlawanan musim ini," kata Carrick yang menjaringkan gol saguhati United kelmarin.
Ini adalah perlawanan pertama United di tempat sendiri sejak ulang tahun ke-50 tragedi kapal terbang terhempas di Munich yang mengorbankan lapan pemain United.
Kejayaan City itu juga membakar lagi semangat mereka untuk merampas slot Liga Juara-Juara musim depan dan Eriksson percaya dengan kehadiran Benjani yang dibeli dari Portsmouth, mampu merealisasikan hajat pasukannya.
"Kami mempunyai teknik dan kepantasan, tapi dengan kehadiran Benjani, pasukan kami jadi lebih baik kerana dia mempunyai teknik dan kepantasan tersendiri," kata Eriksson.
"Dia akan jadi pemain paling penting bagi kami kerana dia adalah pemain yang sesuai dengan gayanya yang tersendiri. Dengan dia dan Martin Petrov, kami mampu beraksi dengan baik dan serangan balas yang pantas."
Dalam pada itu, kapten United, Gary Neville menolak spekulasi yang mengaitkan dia akan bersara selepas dibelenggu masalah kecederaan berpanjangan.
Tonggak pertahanan berusia 32 tahun itu tidak beraksi selama 11 bulan sejak mengalami kecederaan pada pergelangan kaki ketika turun menentang Bolton pada Mac 2007.
"Spekulasi mengenai persaraan saya didedahkan selepas saya lama tidak beraksi," jelas pertahanan England itu kepada United Review.
"Secara dasarnya, pergelangan kaki saya sudah pulih sejak beberapa bulan lalu dan kini saya hanya merasai sedikit kesakitan." - Agensi