Semangat Busby Babes iringi UnitedSIMBOLIK... Dari kiri, Wes Brown, Paul Scholes, Gary Neville dan Ryan Giggs memakai jersi era tahun 50-an sempena ulang tahun ke-50 tragedi kapal terbang Munich.
MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson berharap pasukannya akan menyerapkan semangat
Busby Babes apabila mereka meraikan ulang tahun ke-50 tragedi kapal terbang Munich hari ini.
United akan turun menentang jiran setempat, Manchester City pada saingan Liga Perdana England di Old Trafford hari ini.
Perlawanan ini juga bakal memberi penghormatan kepada lapan pemain United dari skuad Matt Busby yang maut berserta 15 lagi penumpang lain pada tragedi Munich tahun 1958 lalu.
"Saya harap kami dapat memenangi perlawanan ini dan harap semua pemain mampu mempamerkan permainan terbaik," jelas Ferguson.
"Saya rasa, semangat pemain dalam kelab ini tetap sama, dengan pemain muda melakukan perkara yang sama seperti mana pemain United terdahulu."
Perlawanan hari ini juga memberi simbolik yang istimewa kepada ulang tahun ke-50 tragedi Munich, yang merupakan tragedi yang terus diingati oleh semua peminat bola sepak England.
"Saya cukup bangga menjadi pengurus kelab ini dan benar-benar terharu apabila diberi kepercayaan membimbing kelab terhebat bagi satu tempoh yang lama," jelas Ferguson.
Paling menarik, perlawanan di Old Trafford hari ini akan menyaksikan pemain-pemain United memakai jersi era tahun 1950-an, tanpa sebarang lambang penaja dan hanya menggunakan nombor satu hingga 11.
Begitupun, United yang bertekad untuk mengekalkan rekod tanpa kalah di Old Trafford ketika berdepan City akan turun tanpa khidmat Wayne Rooney dan Patrick Evra yang digantung perlawanan. - Reuters