Pertemuan dua gergasi England esok
|
Cristiano Ronaldo.
|
LONDON – Dua pasukan terbaik bola sepak Liga Perdana England dan dua penyerang paling hebat ketika ini bakal beradu kekuatan dalam perlawanan bola sepak Piala FA esok apabila Arsenal berdepan Manchester United di Old Trafford.
Dua minggu lalu, dua pasukan berprofil tinggi ini berkongsi mata untuk mendominasi kedudukan teratas liga, namun membawa ke pusingan kelima Piala FA, Arsenal sudah memegang kelebihan lima mata ke atas United.
Malah, dua bintang mereka juga dipisahkan dengan lima gol dalam kedudukan penjaring terbanyak musim ini, di mana Cristiano Ronaldo sudah menjaringkan 27 gol, manakala penyerang Arsenal, Emmanuel Adebayor 22 gol.
Bagaimanapun dalam saingan Liga Perdana, mereka terikat dengan 19 gol.
Walaupun kedua-dua pemain yang berusia 23 tahun itu tidak punya banyak persamaan dari segi fizikal, namun mereka memiliki kehebatan dan keupayaan yang sama.
Kedua-duanya memiliki kepantasan yang tinggi. Jika sayap Portugal, Ronaldo hebat menggelecek bola, penyerang Togo, Adebayor pula mempunyai gerakan mengelirukan dan mampu melakukan rembatan kencang dari jarak jauh.
Adebayor mengakui, dia amat mengagumi Ronaldo, pesaing utamanya dalam perebutan kasut emas.
“Dia seorang pemain bola sepak yang menakjubkan. Saya menghormati apa yang telah dilakukannya sepanjang musim ini,’’ katanya dalam laman web Arsenal, www.arsenal. com.
Adebayor sendiri berjaya menonjolkan diri dan mengisi pemergian bekas bintang Arsenal, Thierry Henry selepas kurang menyerlah pada musim pertamanya sejak meninggalkan Monaco, dua tahun lalu.
Jaringan lewat minitnya, Isnin lalu berjaya membantu Arsenal membenam Blackburn Rovers 2-0 iaitu kemenangan kesembilan berturut-turut buat skuad bimbingan Arsene Wenger itu.Bagaimanapun, Wenger sendiri tidak tahu apa yang telah mendorong kepada transformasi Adebayor sehingga dia menjadi pemain yang jauh lebih hebat berbanding sebelum ini.
Keemasan
“Saya tidak tahu apa yang difikirkan. Dia seperti sudah menemui bakat yang ada pada dirinya dan sedar ia adalah peluang keemasan.
“Dia bukan saja berbakat tetapi berdedikasi. Adakah kami yang mengubahnya atau dia sendiri yang sedar dia telah banyak membuang masa sebelum ini? Saya tidak tahu,’’ kata Wenger.
Sementara itu, Ronaldo menjaringkan dua gol ketika United menundukkan Tottenham Spurs 3-1 untuk meraih tiket pusingan kelima Piala FA.
Tidak dinafikan, dia bakal mendapat sokongan yang baik apabila penyerang England, Wayne Rooney kembali daripada penggantungan yang menyebabkan dia terlepas perlawanan liga Ahad lalu, di mana United kalah 2-1 kepada Manchester City.
Kepulangan Rooney turut mempengaruhi keputusan Wenger untuk menurunkan tonggak pertahanan Ivory Coast, Kolo Toure dan Emmanuel Eboue, yang baru kembali daripada Kejohanan Negara-Negara Afrika.
Selain Arsenal dan United, terdapat empat lagi kelab Liga Perdana yang terlibat dalam tujuh lagi perlawanan Piala FA, namun mereka berdepan laluan lebih mudah dengan bertemu kelab divisyen satu, dua dan tiga.
Portsmouth akan berkunjung ke Preston North End, pasukan divisyen dua yang menyingkirkan Derby County pada pusingan keempat, manakala Middlesbrough akan menentang Sheffield United, pemusnah dua kelab Liga Perdana - Manchester City dan Bolton Wanderers dalam laluan ke pusingan kelima.
Penyandang gelaran, Chelsea pula menerima kunjungan kelab Liga Satu (divisyen tiga), Huddersfield esok, manakala Liverpool menjadi tuan rumah kepada kelab divisyen dua, Barnsley.
– Reuters