Arsenal mahu kembalikan maruah
|
Arsene Wenger.
|
LONDON – Pendahulu Liga Perdana England, Arsenal, sebenarnya berdepan cabaran paling berat untuk mengembalikan ‘maruah’ apabila menentang juara bertahan, AC Milan dalam pertemuan Liga Juara-Juara, esok.
Gunners pada hakikatnya masih diselubungi duka ekoran tewas kepada Manchester United dalam pusingan kelima Piala FA England, Sabtu lalu.
“Saya tidak menyangka tekanan begini hebat dan mampu menjadikan anda gila. Sasaran yang menunggu kami begitu berat sekarang.
“Kami akan berdepan dengan cabaran paling sengit. Saya dapat rasakan kegelisahan dan kemurungan kekalahan lalu akan hilang sebaik mereka (pemain Arsenal) turun ke padang,’’ kata pengurus Gunners, Arsene Wenger, semalam.
Biar pun tewas pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2006 kepada Barcelona dan terkeluar dari pusingan kedua, musim lalu, Arsenal sebenarnya masih mencari-cari kemenangan untuk melupakan sejarah silam.
“Kesemua kamu kecewa dengan persembahan minggu lalu. Namun, kami berjanji untuk kembali bangkit pada perlawanan seterusnya dan kami tidak rela lagi tercicir,’’ kata pemain tengah Arsenal, Gilberto.
Namun, di sebalik cita-cita besar itu, Arsenal dan Milan masing-masing mempunyai masalah besar dalam meletakkan penjaga gol, esok.
Penjaga gol Gunners, Manuel Almunia cedera ibu jari tangan, bermakna Jens Lehmann mempunyai peluang manakala Milan berdepan kerumitan apabila kedua-dua penjaga golnya, Dida dan Zeljko Kalac mengalami kecederaan.
Kalac cedera pada jari kanannya manakala Dida mengalami kecederaan belakang.
Milan, pimpinan Carlo Ancelotti, nampaknya tidak mempunyai pilihan selain menurunkan penjaga gol ketiga, Valerio Fiori yang tidak pernah beraksi dalam kejuaraan itu sejak Disember 2003.
Sementara itu, ketua pasukan, Paolo Maldini yang beraksi dalam penampilannya ke-1,000, minggu lalu tidak sabar untuk menentang Arsenal.
“Saya yakin pertemuan ini menjanjikan aksi menarik kerana kami adalah penyandang juara,’’ katanya Maldini.
– AP