“Saya sekarang orang susah” – Azza
|
AZZA.
|
Bersama:NIEZAM
Bekas anggota kumpulan Elite – Azzarima Zawari, 30, atau Azza menghadapi kehidupan yang cukup getir. Selepas kegagalan rumah tangganya dengan Mohd. Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada pertengahan November 2004, perjalanan dirinya semakin parah.
Malah pelbagai cerita buruk dilemparkan terhadap Azza termasuk dikatakan tidak berdisiplin dan sering lewat ke lokasi penggambaran.
Dia juga dituduh kononnya terlibat dengan anasir yang kurang sihat. Azza juga pernah mendakwa badannya semakin susut akibat terkena sihir orang yang dengki dengan kehidupannya.
Lebih daripada itu ada yang berkata, dia sebenarnya menghadapi tekanan perasaan yang amat sangat dan perlu menjalani rawatan mental bagi memulihkan kembali pemikirannya.
Petang Rabu lalu saya menghubungi Azza dan kami berborak panjang mengenai perjalanan hidupnya itu. Sesekali dia menangis apabila mengimbas mengenai rumah tangganya yang mengalami kegagalan.
“Saya juga macam orang lain yang inginkan kebahagiaan tetapi saya hilang semua itu,” kata Azza mahu menjawab segala persoalan yang diperkatakan orang terhadapnya selama ini.
Bagaimana dengan perkembangan terbaru Azza? Bila album baru akan diterbitkan?
Azza tetap tumpukan perhatian kepada album baru – Persona Azza yang masih dalam pembikinan. Azza akui album ini tertangguh sikit kerana ada masalah kewangan. Azza kena cari duit lain dan kemudian barulah fikir untuk sambung proses rakaman.
Bukankah sebelum ini ada orang yang mahu menaja pembiayaan album itu?
Sekarang ini Azza tak harapkan sesiapa lagi. Azza tak mahu menggembar-gemburkan ada orang yang nak taja kerana kalau tak jadi, kita juga yang malu. Yang Azza sedih dulunya ada orang nak taja tetapi akhirnya dia senyap begitu saja.
Kenapa jadi macam itu?
Azza malas nak cakap panjang mengenainya tetapi terus terang Azza kata, tidak semua orang yang mahu tolong itu ikhlas berkawan dengan kita. Dia lebih banyak hendak mengambil kesempatan. Azza bukan perempuan gatal. Azza mahu hasilkan album itu dengan ikhlas untuk meningkatkan kerjaya seni Azza. Cukuplah! Azza tak mahu mengharapkan buah yang tak jatuh.
Ambil kesempatan? Maknanya nak ‘sponsor’ untuk album tetapi dalam waktu yang sama melakukan perkara tak elok?
Lebih kurang macam itulah. Azza mahu benda itu biarlah ikhlas supaya rezeki itu akan lebih berkat. Tapi orang yang nak tolong itu selalu ajak kita keluar bersamanya. Azza bukan jenis murahan macam itu. Azza ada anak berusia tiga tahun (Marissa Jannah Ehsan). Komitmen Azza lebih kepada dia. Tak kuasa Azza nak layan benda yang remeh macam tu.
Kehidupan dengan anak macam mana?
Alhamdulillah, Azza seronok dengan anak tetapi kehidupan Azza tidak sesempurna dulu. Sekarang ini Azza sangat-sangat susah. Sebab itu album pun lambat keluar. Tanggungjawab Azza bukannya sikit. Azza anak tunggal. Azza kena tanggung emak, ayah, nak bayar kereta dan nak bayar sewa rumah. Di Kuala Lumpur ni semua benda kita buat nak pakai duit.
Sebab itu Azza kurus kering. Tak macam dulu berisi dan nampak lebih berseri?
Keadaan hidup yang Azza lalui sekarang ini menyebabkan Azza jadi macam ini. Bertambah kurus kerana kehidupan Azza penuh dengan tekanan. Tapi Azza sentiasa berfikiran positif. Azza teringat bagaimana Ning Baizura dulu pun susah selepas melalui detik kontroversi. Ia menjadi kekuatan untuk Azza melalui liku-liku hidup. Bukan mudah sebenarnya untuk berjaya.
Mungkin Azza memerlukan suami yang dapat membantu kehidupan Azza supaya tidak menjadi seperti ini?
Sudahlah! Kalau boleh Azza tak nak bercinta lagi. Itu semua tak ada faedah apabila difikirkan. Semasa berumah tangga dulu dah banyak benda yang Azza korbankan. Cuma impian Azza mahukan lelaki yang baik dan menyayangi Azza sepenuhnya. Kita tak nafikan sebagai wanita paling tidak kita mahu lelaki yang boleh membantu isterinya dari segi kewangan. Kerana Azza bukannya ada kerja. Harapkan menyanyi tetapi takkan selamanya Azza nak menyanyi?
Tawaran berlakon macam mana?
Datuk Yusof Haslam yang banyak membantu Azza. Dia ada beberapa buah drama yang memerlukan penglibatan Azza. Di samping itu Azza ada juga dapat tawaran drama 60 episod. Azza akan fikirkan. Cuma yang Azza tak puas hati ada sesetengah produksi yang nak ambil berlakon tapi dibayar murah. Begitu juga dengan persembahan pentas. Ada yang nak bayar RM500 saja. Mereka tak kasihan langsung dengan artis. Fikirlah sikit duit minyak dan perjalanan kita. Bayar banyak tu nak makan apa? Sekarang Azza mahu watak yang lebih mencabar. Tak nak asyik-asyik jadi penggoda.
Kebelakangan ini macam-macam gosip dan cerita tak elok mengenai Azza. Ada sesetengah cerita tidak menyebut nama tetapi kita tahu ia adalah Azza. Apa masalah sebenarnya?
Beginilah! Apa yang penting sekarang ini Azza tahu siapa diri Azza yang sebenar. Azza tak mahu fikir buruk fasal orang tetapi lantaklah kalau orang nak fikir buruk tentang Azza. Kepada Azza, kalau benda tu buruk dan buat orang kecil hati, jalan terbaik Azza minta maaf. Azza juga mengambil positif tulisan di media dan menganggap orang masih sayangkan Azza. Sebab itulah cerita mengenai Azza selalu keluar. Dan yang pastinya setiap teguran itu Azza akan perbaiki. Cuma janganlah buat benda yang boleh memalukan Azza.
Masalah yang Azza lalui sekarang ini adakah turut berpunca daripada kegagalan rumah tangga?
Ya. Azza mengaku. Azza bagaikan hilang segalanya. Pada satu tahap Azza mengambil masa yang lama untuk jadi Azza yang dulu. Setiap wanita yang bercerai mengalami proses memulihkan kehidupannya yang agak teruk. Bayangkanlah sebelum ini kita hidup bersama tetapi akhirnya tinggal seorang diri. Kesunyian itu menyebabkan perasaan kita lebih tertekan. Dalam masa yang sama Azza menghadapi masalah kewangan. Orang di luar sana nampak Azza kuat tetapi Azza hampir-hampir tersungkur sehingga pernah suatu ketika Azza rasa macam nak buat benda-benda bodoh.
Siapa yang bagi sokongan menghadapi ujian itu?
Syukurlah Azza ada emak dan bapa. Mereka yang banyak bagi sokongan kepada Azza. Emak ada berpesan supaya Azza mencari lelaki yang benar-benar mencintai Azza. Tak kaya tak apa asalkan cintanya jujur dan ikhlas. Kalau mereka hendak mempermainkan, tak apalah, Azza tak mahu. Azza mengharapkan kalaulah Allah mahu memberikan Azza jodoh, temukanlah dengan lelaki yang ada didikan agama kerana ia dapat memberi kebahagiaan dunia dan akhirat. Sekarang pun ada juga orang yang kuat agama banyak memberikan Azza nasihat bagaimana untuk memulihkan semula hidup ini. Azza amat bersyukur.
Apa yang Azza harapkan tatkala melalui kehidupan ini?
Azza tak mahu memikirkan lagi perkara yang sudah lepas. Sekarang Azza mahu fikir ke hadapan dan mahu positifkan diri. Cuma Azza harap ada banyak tawaran berlakon untuk Azza kerana ketika ini Azza memerlukan sumber kewangan untuk menyara keluarga dan anak Azza.