ANTARA komponen kereta buruk yang 'dikitar semula' dan kemudiannya dijual pada harga baru.
KUALA LUMPUR - Mungkin ramai yang beranggapan komponen kereta yang rosak tidak berharga lagi, namun tanggapan itu ternyata silap kerana komponen itu sebenarnya menjadi buruan pihak industri untuk menipu sekali gus meraih keuntungan berlipat ganda.
Ini kerana, komponen kereta yang rosak itu sebenarnya akan diberi 'nafas baru' bagi mengelirukan pengguna dan dijual sebagai alat ganti baru.
Pihak industri yang ditunjangi pengusaha bengkel sekitar Lembah Klang dikatakan aktif menggunakan modus operandi itu dan yang pasti ia memberi pulangan lumayan kepada mereka.
Kerja 'jahat' itu nyata sangat menguntungkan kerana bagi satu komponen kenderaan yang rosak seperti 'kompresor pendingin hawa' dibeli oleh mereka sebagai besi buruk dengan harga semurah RM5 sebelum menjualnya semula sehingga RM800 sebagai alat ganti baru.
Lebih hebat, penipuan itu sukar dibuktikan kerana selain dicerai, dibersihkan agar kelihatan seperti baru, ia dipasang semula dan komponen tersebut juga melalui pembungkusan semula agar ia kelihatan seperti komponen asli yang baru.
Semuanya dilakukan untuk meyakinkan pengguna bahawa alat ganti yang dibeli adalah asli kerana pembungkusan itu turut terdapat pelekat jenama yang asli.
Menurut seorang mekanik yang hanya mahu dikenali sebagai Jefri, 42, penipuan itu bukan perkara baru sebaliknya telah berlaku sejak lebih 10 tahun dan kini ia semakin berleluasa.
"Mereka ini bersekongkol dengan premis yang menjual alat ganti kenderaan kerana masing-masing memperoleh untung yang berlipat kali ganda.
"Bukan setakat pengguna sahaja yang menjadi mangsa mereka tetapi kami yang telah berpengalaman sebagai mekanik juga tidak terkecuali," katanya kepada
KOSMO! Ahad semalam.
Kata Jefri, apa yang membimbangkan, tiada jaminan keselamatan diberi terhadap penggunaan alat ganti yang telah dikitar semula itu.
Katanya, kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja kerana komponen yang digunakan merupakan alat ganti yang telah rosak dan hanya nampak cantik secara luarannya sahaja.
Cerita Jefri lagi, masalah penipuan itu telah menjadi satu penyakit kronik kerana tiada satu pun komponen kereta yang terkecuali daripada menjadi mangsa 'kitar semula'.
saya baca d berita kosmo semalam... just want to share the info....