Bentuk kening semula jadiOleh JAGATHESWARY NARAYANAN
Sebelum ini, kaedah mencacah untuk mencantikkan bulu kening agak menyakitkan dan tidak tahan lama. Namun, teknik sulaman kening memberi pendekatan berbeza.
Bulu kening diibaratkan rias wajah setiap insan baik lelaki mahupun wanita. Namun, wanita lebih tertumpu untuk memiliki bulu kening yang kelihatan cantik dan natural.
Bukan semua orang memiliki bentuk bulu kening yang sempurna seperti diidamkan, ada yang sentiasa berhadapan dengan masalah membentuk atau melukis bulu kening terutamanya ketika bergegas ke pejabat pada awal pagi dan menghadiri majlis makan malam atau sahabat handai.
Tetapi kini kaedah sulaman kening menjadi alternatif baru. Sulaman kening adalah satu teknik terbaru yang boleh menghasilkan bentuk dan rupa kening yang lebih baik dan bersifat semula jadi.
sejenis jarum besi berbentuk serong muncungnya digunakan dalam teknik sulaman kening.
Sebelum ini, golongan wanita yang menginginkan bulu kening yang cantik sering mengamalkan kaedah tradisional iaitu mencacah bulu kening kerana ia akan berkekalan sepanjang hayat.
Sebaliknya, kaedah lama ini hanya mengekalkan bentuk kening, tetapi lama-kelamaan warnanya semakin pudar kepada hijau, biru dan kelabu.
Ekoran itu, Ultimate Impression Face & Body Clinique Sdn. Bhd yang kini dikenali sebagai Bluunis mengambil inisiatif memperkenalkan teknologi brownaissance di Malaysia sedekad lalu. Pengasas syarikat ini James Tan membawa teknologi itu dari Amerika Syarikat (AS) semata-mata ingin mendapat pengiktirafan dalam industri kecantikan tempatan.
"Setakat ini, kira-kira 100,000 pengguna telah membuat sulaman kening ini bersama syarikat ini dan mereka teruja dan berpuas hati dengan hasilnya.
"Sulaman kening ini jauh beza daripada kaedah tradisional kerana ia tidak menggunakan jarum yang tajam untuk mencacah warna," ujar Pengurus Pembangunan Salon Bluunis, Chrystina Lim ketika ditemui di pusat beli-belah Jaya 33, baru-baru ini.
Chrystina memberitahu, sejenis jarum besi yang berbentuk serong dimuncungnya digunakan untuk melukis warna di atas kulit pelanggan. Peralatan sulaman dan warnanya diimport dari AS kerana teknologi tersebut belum wujud di negara ini.
"Pemilihan warna yang tepat dan betul merupakan perkara penting dalam menghasilkan bulu kening yang cantik. Biasanya warna-warna cafe brown, coklat muda dan kelabu menjadi pilihan utama para pengguna. Ini kerana barisan warna ini sesuai dengan kulit wanita Asia.
"Sebaliknya sulaman ini sama sekali mengelakkan penggunaan warna hitam lantaran lama-kelamaan ia berupaya tukar kepada warna biru atau hijau sehingga mencacatkan bentuk dan warna semula jadi bulu kening seseorang," katanya sambil menunjukkan sulaman kening yang dibuatnya tujuh tahun lalu.
Ujarnya, proses membuat sulaman kening mengambil masa selama 20 minit sahaja. Prosedur ini membabitkan pemeriksaan bulu kening dan pelanggan boleh memilih reka bentuk yang sesuai dengan wajah mereka. Sejurus itu, sejenis krim disapu untuk mengelakkan sebarang alahan pada kulit dan ia teruskan dengan penghasilan sulaman secara teliti dan terperinci.
Tambah beliau, jika bentuk yang dihasilkan tidak memuaskan maka ia boleh ditukar dan disulam semula mengikut kehendak pelanggan.
"Keistimewaan dan kapasiti sulaman ini terletak pada sifat ketahanannya antara dua hingga tiga tahun. Jika mereka memberi tumpuan sepenuh dengan memperbaiki warna dua kali setahun maka ia boleh bertahan selama melebihi lima tahun.
"Perbezaannya daripada cara mencacah adalah pelanggan hanya mengalami kesakitan yang minimum tanpa sebarang kesan sampingan," jelasnya teknologi brownaissance ini semakin popular di negara-negara Asia Pasifik seperti China, Hong Kong, Taiwan, Thailand dan Singapura.
Chrystina juga memberitahu selain sulaman kening mereka turut menawarkan perkhidmatan membuat sulaman tersebut di bahagian celak mata. Walaupun, ia kedengaran pelik tetapi para pelanggan tetap menggemari cara ini kerana ia menjimatkan masa dan tenaga.
Katanya, sulaman yang unik ini boleh didapati di semua salon Bluunis yang terletak di Petaling Jaya, Mutiara Damansara, Subang Jaya dan Klang.
"Kedua-dua jenis sulaman ini, ditawarkan pada harga RM430 termasuk dua kali sapuan semula secara percuma," jelasnya.