TERSUNGKURNYA Lee Chong Wei pada pusingan ketiga menyaksikan cabaran perseorangan lelaki negara kini dipikul pemain veteran, Wong Choong Hann dan Muhammad Hafiz Hashim.
Mereka berjaya meruntuhkan kekebalan dua pemain Tembok Besar China, Chen Yu dan Bao Chunlai.
Tanpa diduga, Hafiz yang cukup dikenali dengan aksi tidak konsisten melakarkan kejuatan menewaskan pemain ketiga dunia, Chunlai dalam pertarungan tiga set yang cukup mendebarkan.
Hafiz mengakui kemenangan itu menyuntik semangatnya selain membuktikan dia masih berbisa untuk beraksi pada Piala Thomas.
Saya gembira dapat menewaskan Chunlai. Terkejut juga dengan kejayaan ini kerana sudah lama saya tidak membuat kejuatan.
“Kali terakhir saya bermain seperti itu adalah di Piala Thomas 2002 apabila menewaskan lawan yang sama.
“Set pertama saya kalah. Set kedua dia mendahului lagi tapi saya terus mengejar dan akhirnya menang. Bermula di set ketiga biarpun saya mendahului. Saya tidak mahu terlalu yakin dan masih menunggu lawan buat silap,” katanya yang hanya mensasar layak ke suku akhir.
Bagi Choong Hann pemain pilihan ke-11, dia tidak menyangka dapat menewaskan Chen Yu dengan mudah, 21-19 21-9 dalam tempoh 35 minit kerana berdasarkan rekod pertemuan terakhir, semuannya memihak kepadanya ketika di Terbuka Singapura dan Jepun.
Menanti Hafiz di suku akhir adalah Sony Dwi Kuncoro manakala Choong Hann akan berdepan seorang lagi pemain China dan pilihan keempat kejohanan, Chen Jin.
Sementara itu harapan untuk melihat ulangan final ABC dalam acara beregu lelaki tampak cerah apabila tiga gandingan negara mara ke suku akhir menerusi Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari.
Keat Koo- Boon Heong akan menentang beregu nombor tiga negara, Zakry-Fairuzizuan, manakala Tan Fook-Wan Wah berdepan pilihan kelima dari Korea, Hwang Ji Man- Lee Jae Jin, petang ini.