Wigan bantutkan hasrat Chelsea, MU di depan dengan lima mata
[url=mailto://][/url]
Chelsea 1 Wigan 1
LONDON: Hasrat Chelsea untuk menduduki tahta kemenangan Liga Perdana Inggeris sedikit terbantut apabila jaringan pada minit akhir penyerang Wigan, Emile Heskey menyaksikan pasukan itu hanya seri 1-1 di Stamford Bridge, awal pagi ini.
Berikutan keputusan itu, Chelsea kini dipisahkan dengan lima mata di belakang pendahulu liga, Manchester United (MU) dengan liga kini berbaki empat perlawanan.
MU kini mempunyai 80 mata, Chelsea 75 manakala Arsenal dengan 71 mata tetapi pengurusnya, Arsene Wenger sudah memberi isyarat awal bahawa saingan pasukannya kini semakin samar.
Disebut-sebut bakal menjuarai liga musim ini, kesebelasan Chelsea bagaimanapun menerima ejekan penontonnya sendiri pada separuh masa pertama serta minit terakhir perlawanan kerana mempamerkan aksi hambar.
Gol yang ditunggu-tunggu Chelsea hanya diperoleh pada minit ke-55 menerusi Michael Essien.
Malah, pada minit ke-45, Joe Cole terpaksa digantikan Florent Malouda bagi memantapkan bahagian serangan tetapi ternyata prestasi pasukan berada di bawah tahap sebenar.
Ini ditambah lagi dengan ketiadaan Frank Lampard yang dikatakan enggan beraksi disebabkan masalah peribadi, menjadikan Chelsea kehilangan sengat.
Penyerang Nicolas Anelka dihadiahkan dua peluang jaringan pada separuh masa pertama tetapi menyaksikan penyudahan yang tidak kemas. - Reuters