Berlian raja segala permataOleh SADATUL MAHIRAN ROSLI (mahiran.rosli@utusan.com.my)
|
BERLIAN berbentuk buah pear-D seberat 72.22 karat berharga antara RM32 dan RM42 juta ini dilelong di Hong Kong, baru-baru ini.
|
BERLIAN ialah teman baik wanita. Lantaran itu, wanita sentiasa memasang impian untuk memiliki setidak-tidaknya sebentuk cincin berlian bagi menghiasi jari-jemari dalam melengkapkan kesempurnaan diri, selain meluahkan keperibadian gaya yang mewah dan bercita rasa tinggi.
Ia adalah raja segala permata. Semuanya menyukainya kerana identitinya yang unik dan kecantikannya yang boleh menyerlahkan penampilan si pemakainya.
Kilauan berlian yang indah dan mempesona tatkala membaluti tubuh, membuatkan wanita berasa dirinya istimewa serta dihargai.
Lebih bermakna lagi, andai berlian yang tersarung di jari, di leher dan di tangan merupakan pemberian insan tersayang sebagai tanda keluhuran cinta sejati yang dikongsi dua hati.
Kerlipan berlian sememangnya indah, berharga dan memancarkan gaya eksklusif serta elegan. Jadi bukan sesuatu yang menghairankan jika selama berabad-abad ia mendapat tempat di hati penggemarnya baik wanita mahupun lelaki.
Berlian itu sendiri secara langsung membawa maksud batu indah yang melambangkan kemakmuran, kekayaan dan kemasyhuran.
Menurut sejarah, berlian telah dikenali sejak zaman purba lagi. Ia merupakan antara batu yang paling keras.
Dahulu hanya golongan diraja sahaja yang boleh memakai batu berlian namun begitu lama kelamaan apabila ia popular sebagai batu permata, pertukaran pemilikan berlaku.
Ramai golongan atasan dan berada mula menggunakan berlian sebagai salah satu perhiasan diri terutamanya sebagai cincin pernikahan.
Jika sebelumnya orang lebih memilih cincin yang hanya terbuat dari emas dan perak, maka pada saat ini orang sudah mulai beralih menggunakan cincin yang menggunakan batu berlian. Ini kerana berlian mampu melambangkan pelbagai hal, dari perasaan hati dan juga simbol kemewahan.
Kini ia bukan sahaja dijadikan cincin, tetapi telah dipelbagaikan seperti anting-anting, subang, loket, gelang, rantai dan kerongsang.
Cara membersihkan berlian
* Celup berlian di dalam mangkuk yang berisi air sabun.
* Gunakan berus gigi dan gosokkan perlahan-lahan.
* Bilas berlian dengan air suam yang mengalir dan lap di atas kain kasa.
Tip yang perlu diingat
* Jangan menggosok berlian dengan kasar.
* Jangan membersihkan berlian dengan perhiasan lain.