Rooney bikin Boro berputih mata
LONDON - Wayne Rooney muncul penyelamat Manchester United apabila menjaringkan gol penyamaan ketika membantu pasukannya mencatat keputusan seri 2-2 dengan Middlesbrough pada aksi Liga Perdana England di Stadium Riverside semalam.
Sekalipun seri, United masih mendahului liga, namun skuad kendalian Alex Ferguson itu hanya di bezakan dengan tiga mata di hadapan pencabar terdekatnya, Chelsea.
Selepas Chelsea melakar kemenangan 2-0 ke atas Manchester City kelmarin, United yang memerlukan kemenangan di Riverside mendahului menerusi bintangnya, Cristiano Ronaldo pada minit ke-10.
Penyerang dari Brazil, Afonso Alves memberi United tekanan apabila meledakkan dua gol buat Boro untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Bagaimanapun, Rooney menyelamatkan maruah United apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-74.
Keputusan ini juga pastinya membuka kembali peluang Arsenal untuk kembali bersaing dalam perebutan gelaran juara menjelang pertemuan mereka di Old Trafford Ahad depan.
Kelmarin, Arsenal yang ketinggalan enam mata di belakang United, seri 1-1 dengan Liverpool di Stadium Emirates.
"Memang menjadi kebiasaan bagi kami bahawa kami tidak pernah berputus asa dan itulah kualiti yang paling menakjubkan," kata Ferguson.
"Mereka (pemain) tidak berputus asa dan hampir memenangi perlawanan ini.
"Tapi kamu juga kena beri pujian kepada lawan kami, saya rasa mereka beraksi dengan baik. Mereka berusaha bersungguh-sungguh. Ia satu perlawanan yang hebat dan juga pantas."
Sementara itu, pengurus Boro, Gareth Southgate berkata: "Kamu boleh lihat kepada keputusan ini, tapi saya tetap puas hati dengan corak permainan kami. Kami tetap gembira walaupun hanya mengutip satu mata.
"Jaringan Alves memang mengkagumkan dan persembahan pasukan juga amat cemerlang."
Sementara itu, Everton kembali mencerahkan peluang memburu slot terakhir Liga Juara-Juara musim depan selepas menewaskan Derby 1-0 hasil jaringan Leon Osman. - Agensi