Chelsea belum mengaku kalahESSIEN meledak gol pembukaan Chelsea pada aksi di Stamford Bridge kelmarin.
LONDON - Walaupun seri 1-1 dengan Wigan Athletic kelmarin, Chelsea masih belum mengaku kalah.
Skuad The Blues itu masih menaruh harapan untuk memintas pendahulu Liga Perdana England, Manchester United.
Pengurusnya, Avram Grant menjelaskan bahawa burun mereka untuk menjulang gelaran liga belum berakhir.
"Kami masih berpeluang dan belum mengaku kalah," katanya.
Menurut Grant, barisan pemainnya masih mempunyai keyakinan yang tinggi untuk memintas United.
"Apa yang penting sekarang ialah kami perlu menang ke atas Everton Khamis ini jika terus mahu memberi tekanan ke atas United.
"Selepas itu, kami ada tugas besar di gelanggang sendiri apabila menjadi tuan rumah kepada perlawanan penting menentang United pada 26 April ini," katanya.
Pada aksi di Stamford Bridge kelmarin, Michael Essien meletakkan Chelsea di hadapan sebelum penyerang Wigan, Emile Heskey menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir perlawanan.
Keputusan seri itu, menyaksikan Chelsea kini ketinggalan lima mata di belakang United ketika saingan liga masih ada empat perlawanan lagi untuk diharungi.
Ia dilihat sukar buat Chelsea dalam misi mereka memburu gelaran tetapi Grant tetap belum berputus asa.
"Kami masih dalam perebutan. Saya akui keadaan agak sukar ketika ini tetapi kami masih berpeluang untuk memenanginya," kata Grant.
"Sudah tentu mereka (pemain-pemain Chelsea) yakin dan mereka tidak akan berputus asa. Begitupun kami perlu menang menentang Everton dan United selain masih mengharapkan Red Devils mengalami kekalahan. - AFP