Grant belum mengaku kalah
[url=mailto://][/url]
Kehadiran Lampard dijangka dapat kembalikan Chelsea di landasan memburu juara
PORTSMOUTH (England): Pengurus Chelsea, Avram Grant belum bersedia mahu mengaku kalah dalam usaha memburu mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun selepas menyaksikan The Blues tercicir enam mata di belakang pendahulu, Arsenal apabila sekadar mampu seri 1-1 dengan Portsmouth, kelmarin.
Jermain Defoe menjaringkan gol sulung untuk kelab keempatnya bagi menidakkan jaringan awal Nicolas Anelka yang turut menjaringkan gol pertama untuk Chelsea. Gol penyamaan itu menghancurkan usaha Grant mencatat rekod 10 kemenangan berturut-turut.
Chelsea kini menyedari tugas sukar menanti kerana perlu menang mengatasi Liverpool yang bertandang ke Stamford Bridge Ahad depan, namun Grant yang bakal menerima kembali Frank Lampard yang sebelum ini cedera, yakin pasukannya masih di atas landasan memburu gelaran juara.
"Kita tidak begitu gembira selepas melihat pasukan hanya sekadar seri selepas mendahului 1-0 dan melihat kelab melepaskan bola yang kelihatan ofsaid. Ia amat mengecewakan," katanya.
"Akan tetapi sudah tentu gelaran masih dalam genggaman. Perjalanan masih panjang sebelum penghujung musim. Masih banyak mata yang boleh dimenangi dan macam-macam boleh berlaku.
"Tahun lalu kami sembilan mata di belalang Manchester United dan orang menyatakan kami mempunyai peluang dan kini, ia hanya enam mata dan kita masih punyai peluang."
Pemain tengah Jerman, Michael Ballack sebelum itu menyaksikan tandukannya dinafikan di atas garisan sebelum Anelka membuka tirai jaringan 10 minit selepas separuh masa kedua dimulakan.
Portsmouth merasakan mereka seharusnya dianugerahkan penalti sewaktu Claude Makelele kelihatan menampan bola dengan tangan sewaktu cuba mengeluarkan bola hasil hantaran silang Milan Baros.
Pasukan itu menghapuskan kekecewaan berkenaan apabila Defoe mencuri kesempatan kealpaan bek Chelsea untuk mewajarkan pembelian lebih tujuh juta pound daripada Tottenham apabila dia menjaringkan gol penyamaan. - AFP