|
MICHAEL Ballack meraikan jaringannya menentang Manchester United di Stamford Bridge, semalam. – AP
|
LONDON - Michael Ballack memberi nafas baru buat Chelsea untuk memburu kejuaraan bola sepak Liga Perdana England selepas dua jaringannya, termasuk penalti pada minit ke-86 membantu pasukannya mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Manchester United, semalam.
Skuad bimbingan Avram Grant itu kini berkongsi mata dengan United pada ketika saingan liga berbaki dua perlawanan selepas dua gol Ballack menceriakan peminat di Stamford Bridge.
Ketua pasukan Jerman itu membuka jaringan Chelsea pada separuh masa pertama selepas menanduk hantaran cantik Didier Drogba di minit ke-45.
Kesilapan tonggak pertahanan tuan rumah, Ricardo Carvalho yang menghantar bola kepada Wayne Rooney membuka ruang buat penyerang England itu untuk merembat gol penyamaan pada minit ke-57.
Pada ketika United yakin perlawanan akan berakhir dengan keputusan seri, Michael Carrick memberi sepakan penalti yang amat diharapkan oleh Chelsea apabila terpegang bola dalam kotak penalti sendiri.
Menyedari permainan hanya tinggal empat minit untuk ditamatkan, Ballack menggunakan sepenuh peluang yang dengan menyempurnakan penalti untuk mengesahkan kemenangan Chelsea.
United bagaimanapun masih menerajui liga dengan jaringan yang besar dan perlu menanti keputusan dua perlawanan terakhir - menentang West Ham di Old Trafford (3 Mei) dan berkunjung ke Wigan (11 Mei) untuk dijulang sebagai juara kali ke-17.
Chelsea pula akan berkunjung ke Newcastle United pada 5 Mei depan sebelum menerima kunjungan Bolton pada 11 Mei.
Semalam, pengurus United, Alex Ferguson merehatkan dua bintang penyerang, Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez pada separuh masa pertama, selain mengetepikan Patrice Evra dan Paul Scholes.
Chelsea pula beraksi tanpa bintang tengahnya, Frank Lampard, yang masih berkabung di atas kematian ibunya, Pat Lampard, Khamis lalu.