First topic message reminder :Ronaldo terpilih Pemain Terbaik England02/05/2008 8:41pm
LONDON 2 Mei – Pemain sayap Manchester United, Cristiano Ronaldo dipilih sebagai Pemain Terbaik England tahun ini iaitu pemain kedua memenangi anugerah itu dua kali berturut-turut sejak ia diperkenalkan 60 tahun lalu.
Penyerang Liverpool, Fernando Torres dan penjaga gol Portsmouth, David James masih-masing di tempat kedua dan ketiga dalam undian yang dijalankan oleh Persatuan Penulis-Penulis Sukan (FWA) sejak ia diperkenal pada 1948.
Pemain kelahiran Portugal berusia 23 tahun itu memenangi anugerah kedua itu seminggu selepas dia dinamakan sebagai Pemain Terbaik Persatuan Pemain Profesional tahun ini.
Ronaldo yang menjaringkan 38 gol setakat ini dan bekas penyerang Arsenal, Thierry Henry merupakan pemain yang memenangi anugerah itu dua musim berturut-turut. Henry memenangi anugerah itu pada 2003 dan 2004 dan sekali lagi pada 2006.
“Anugerah kepada Ronaldo bukan sesuatu yang mengejutkan selepas prestasi menakjubkan musim ini.
“Memang dia tidak mendapat undian seratus peratus tetapi sejak proses undian bermula, dia mendahului dan kekal di depan.
“Dengan menjaringkan 38 gol setakat ini, ia adalah sesuatu yang hebat bagi seorang pemain sayap.
“Dengan mengambil kira usianya yang masih muda, dia memiliki potensi dan keupayaan untuk mendominasi anugerah ini pada tahun-tahun seterusnya,’’ kata pengerusi FWA, Paul Hetherington.
Stanley Matthews memenangi anugerah pertama Pemain Terbaik England pada 1948. – Reuters