Susunan Nur Farhatul Aishati Azharie[url=mailto://][/url]
Zhang Zilin berjaya rebut mahkota yang lazim dimonopoli wanita rambut perang, mata biru MESKIPUN tidak fasih berbahasa Inggeris, ketinggiannya yang mencecah 182 sentimeter dengan wajah jelita persis super model membolehkan Zhang Zilin dipilih wanita China pertama dinobatkan sebagai Ratu Dunia 2007, sekali gus melenyapkan impian 106 jelitawan dunia yang lain.
Kemenangan itu membuat rakyat China berasa bangga kerana digelar Ratu Dunia 2007 pertama di pertandingan yang penuh gilang-gemilang pada Sabtu lalu di Sanya, sebuah pekan selatan China.
Kemenangannya itu juga mengejutkan tanah airnya sendiri apabila mengalahkan saingan terdekat dari Angola dan Mexico pada peringkat akhir, lantas membawa pulang mahkota edisi ke-57 pertandingan ratu cantik. Pertandingan berkenaan dikatakan ditonton lebih dua bilion penonton merentasi 174 negara seluruh dunia.
“Saya wanita China pertama untuk memenangi gelaran ini dan apa yang lebih penting ialah saya memenanginya di negara saya sendiri. Sungguhpun saya berbangga dengan kemenangan ini tidak dinafikan saya amat terkejut,” katanya menggunakan khidmat seorang penterjemah.
Micaela Reis dari Angola pula dianugerahkan tempat kedua dan Carolina Moran Gordillo dari Mexico di tempat ketiga. Ada Aimee De La Cruz dari Republik Dominican menjadi pilihan utama untuk memenangi Ratu Dunia, tetapi tuah tidak berpihak kepadanya yang hanya jatuh di tangga ke-16.
Pertandingan tahun ini diadakan pada Hari Aids Sedunia. Seperti dikatakan penganjur, melalui pertandingan itu, mereka ingin memberi kesedaran mengenai perjuangan yang berterusan menentang penyakit berkenaan.
Anak sulung kepada bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, Maki juga adalah seorang daripada sembilan pengadil pertandingan itu. Anak lelaki Mandela meninggal dunia akibat penyakit yang ada kaitan dengan Aids pada 2005.
Zhang, 23, kelihatan cukup menawan dalam pakaian gaun meleret berwarna merah jambu. Pihak penganjur mengatakan bahawa bekas pemegang gelaran berkenaan, Tatana Kucharova dari Republik Czech sudah terbang ke seluruh pelusuk dunia dalam memenuhi tugasnya sebagai ratu. Berbaloi dengan tugasannya yang dimahkotakan dan meraih wang RM350,000.
Pengerusi Pertubuhan Ratu Dunia yang menjayakan pertandingan ratu cantik, bertempat di Britain, Julia Morley, berkata banyak kerja yang perlu dilakukan kerana gelaran Ratu Dunia adalah tanggungjawab yang sangat serius.
Sementara itu pereka fesyen yang juga salah seorang daripada juri pertandingan Ben de Lisi, berkata pemilihan peserta dilihat dari beberapa segi dan markah diberikan berdasarkan kecerdasan, gaya dan personaliti.
“Kelebihan Zhang kerana beliau bersikap tenang, anggun, memiliki kecantikan semula jadi dan mempunyai daya tarikan yang membuatkannya sesuai bagi gelaran ini,” katanya.
Zhang sewaktu ditemu ramah selama 40 saat di pentas pertandingan berkata beliau mendapat sokongan daripada 1.3 bilion orang sambil merujuk kepada populasi rakyat negaranya.
“Kalau saya menang, saya ingin menjadi penghubung di antara Sukan Olimpik (di Beijing tahun depan) dan Pertubuhan Ratu Dunia.
“Saya ingin menggunakan kuasa dan kecantikan sebagai Ratu Dunia untuk menyokong mereka yang memerlukan,” katanya.
Gadis cantik ini menggemari coklat dan ais krim dilahirkan di pekan Shi Jia Zhaung. Beliau kemudian berpindah ke Beijing. Zhang menimba ilmu di Universiti Sains dan Teknologi dan memperoleh Ijazah Pentadbiran Perniagaan dan kini berkhidmat sebagai setiausaha.
Biografi yang diperoleh menerusi laman web Ratu Dunia mengatakan bahawa beliau gemar mengembara, membaca dan bersukan. Beliau gemar mendengar lagu rakyat dan makanan kegemarannya adalah ais krim, coklat dan buah-buahan. Memiliki prinsip hidup ‘di mana ada keinginan di situ ada jalan’.
Penonton memenuhi teater Beauty Crown untuk menonton wanita muda kelahiran China untuk membawa pulang gelaran Ratu Dunia 2007. Menurut penerima taruhan British, beliau sebenarnya menjadi kegemaran ramai untuk menang. Minggu lepas Zhang dianugerahkan 'Model Terbaik' sewaktu pertandingan berkenaan.