United catat kemenangan pertama awal musim
|
PENYERANG Manchester United, Wayne Rooney cuba menghalang pemain tengah Portsmouth, Papa Bouba Diop pada pertembungan Liga Perdana England di Fratton Park, semalam. United menang 1-0.
|
LONDON – Manchester United menewaskan Portsmouth 1-0 di tempat lawan semalam untuk mencipta kemenangan pertama daripada dua perlawanan awal musim Liga Perdana England.
Pemain tengah, Darren Fletcher muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membolehkan United mengumpul empat mata, kurang dua daripada pendahulu, Chelsea.
Juara bertahan liga perdana itu sebelum ini hanya mampu seri 1-1 dengan Newcastle di tempat sendiri.
Perlawanan semalam adalah yang kedua bagi United dan Portsmouth dalam masa dua minggu kerana mereka sebelum ini juga bertemu dalam perlawanan pembuka tirai Community Shield yang dimenangi United menerusi penentuan sepakan penalti 3-1.
Dengan Chelsea dan Liverpool membuat permulaan sempurna dua kemenangan berturut-turut, United turun tanpa ada pilihan selain perlu mencatat kemenangan jika tidak mahu terus ketinggalan.
Tanpa kelibat Cristiano Ronaldo yang masih cedera, Fletcher menjadi pertaruhan untuk menghasilkan gol pada minit ke-33 selepas menerima umpanan lintang Patrice Evra.
Ini merupakan gol keduanya dalam dua perlawanan musim ini.
Bagaimanapun Portsmouth hampir mengejutkan United hanya selepas 15 saat permainan bermula namun sepakan Papa Bouba Diop dari jarak 25 meter sedikit tersasar.
Pasukan tuan rumah merayu diberikan sepakan penalti selepas itu apabila mendakwa bola terkena tangan pemain pertahanan United, Nemanja Vidic tetapi tidak dilayan pengadil.
Sehinggalah Fletcher menyumbat gol daripada jarak dekat, selebihnya menyaksikan kedua-dua pasukan mensia-siakan banyak peluang menjaringkan gol.
– AP