Suruhanjaya diraja yang menyiasat skandal klip video Lingam
mengesyorkan supaya mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan
lima orang lagi, disiasat berhubung peranan mereka dalam pelantikan
hakim-hakim.
Yang lainnya ialah bekas ketua hakim negara - Tun
Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin - peguam kanan
Datuk VK Lingam; bekas menteri di jabatan perdana menteri, Tengku Adnan
Tengku Mansor yang juga setiausaha agung Umno serta ahli perniagaan Tan
Sri Vincent Tan.
Suruhanjaya itu mengesyorkan supaya mereka
disiasat di bawa Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan
dan kerana menghalang proses keadilan.
Menteri
di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata hari ini bahawa
kabinet telah mengarahkan pejabat peguam negara untuk memulakan
siasatan secepat mungkin terhadap keenam-enam mereka.Sebelum itu, Zaid berkata kerajaan memutuskan untuk mengumumkan laporan suruhanjaya diraja itu.Orang ramai boleh membeli laporan tersebut mulai esok pada harga RM542.10 senashkah.Salinan laporan tersebut tidak diedarkan kepada pihak media.Laporan
berjumlah 191 muka surat itu telahpun diserahkan kepada Yang di-Pertuan
Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Perdana Menteri Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi.
Suruhanjaya diraja itu dianggotai bekas
Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohamed Noor sebagai pengerusi, bekas
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Hakim Besar Sabah
dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Peguamcara Negara Puan
Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan ahli sejarah Prof Emeritus Datuk Dr Khoo
Kay Kim.
Suruhanjaya itu dibentuk bagi menyiasat klip video 14
minit yang didakwa memaparkan seorang peguam, Datuk V.K Lingam, sedang
bercakap menerusi telefon dengan seorang yang dikatakan seorang hakim
kanan, kononnya bagi mengatur pelantikan hakim .
Seramai 21
saksi termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan tiga
bekas ketua hakim negara dipanggil memberi keterangan dalam siasatan
yang memakan masa selama 17 hari bermula 14 Januari lalu.