First topic message reminder :Kuasa kanta lekapBak kata pepatah, dari mata turun ke hati. Ternyata mata mempunyai kuasa tersendiri sebagai daya penarik. Justeru, kanta lekap berwarna menyerlahkan aura mata seseorang.
PERUBAHAN gaya bukan hanya tertakluk pada potongan rambut baru, solekan menawan mahupun pakaian. Warna mata juga mempunyai pengaruh tersendiri dalam menentukan gaya.
Mata dianggap sebagai jendela jiwa kerana ia bukan sahaja mampu menarik perhatian mereka yang melihat, tetapi juga antara cara untuk melihat emosi individu.
Selain daripada bentuk mata, warna juga memainkan peranan sebagai daya penarik wajah individu.
Jika zaman dahulu, ramai yang ingin mengubah warna mata untuk menjadikan diri lebih cantik atau menarik, kini perkara itu tidak mustahil dengan kehadiran kanta lekap berwarna.
Kanta lekap bukan sekadar memperbaiki penglihatan si pemakainya, tetapi juga boleh digunakan sebagai kenyataan fesyen yang mudah dan mampu dimiliki.
Terdapat empat jenis kanta lekap berwarna iaitu warna legap, berwarna, penambahan warna dan turas warna cahaya.
Kanta lekap berwarna legap biasanya digunakan dalam filem kerana ia memberikan kesan khas pada bahagian mata. Ia juga dikenali sebagai kanta teater atau kostum kerana kesan menarik yang diberikan pada mata.
Kanta lekap berwarna adalah kanta yang diberikan sedikit warna, biasanya biru atau hijau lembut. Ini akan memudahkan si pemakai melihatnya apabila terjatuh di lantai atau ketika dibersihkan. Disebabkan warna yang amat lembut, ia tidak memberikan kesan pada warna semula jadi mata.
Kanta lekap penambahan warna digunakan untuk meningkatkan warna semula jadi mata. Ia biasanya digunakan oleh mereka yang inginkan warna mata yang lebih menyerlah. Warna lutsinar yang lebih jelas membezakannya dengan kanta lekap biasa.
|
KANTA lekap juga boleh digunakan untuk meningkatkan penampilan diri.
|
Kanta berwarna juga mempunyai kepelbagaian warna seperti hazel, violet, biru, hijau dan kelabu. Ia mampu mengubah warna mata secara dramatik.
Difahamkan kanta lekap turas warna cahaya telah dibangunkan untuk atlet sukan kerana ia mempertingkatkan warna-warna tertentu seperti kuning untuk bola tenis sekali gus menjadikannya lebih terserlah daripada warna latar dan menjadikannya sasaran yang jelas.
Bagaimana memilih kanta lekap berwarna yang sesuai?
Secara amnya, pemilihan bergantung pada anda. Tetapi jika anda tidak pasti warna yang sesuai, anda boleh bertanyakan pakar optik atau ahli keluarga atau rakan-rakan untuk mendapatkan pandangan mereka.
Namun, sekiranya anda seorang yang berani, dramatik dan ingin menjadi tumpuan ramai, pemilihan warna yang mudah menarik perhatian adalah jawapannya.
Contohnya:
*Sekiranya warna mata semula jadi anda perang, kanta lekap berwarna violet, hijau atau biru mungkin sesuai.
*Jika rambut, kulit dan warna semula jadi mata anda mempunyai bayang warna biru-merah dan sejuk, kanta lekap berwarna panas seperti perang muda adalah satu pilihan.
*Manakala jika anda berkulit gelap, kanta berwarna terang juga sesuai untuk anda.
*Sekiranya anda memakai solekan mata, pilihlah warna kanta lekap yang menonjol daripada warna pembayang mata dan maskara yang akan dipakai.
Jika anda seorang yang pemalu atau hanya mahukan penampilan yang semula jadi, perubahan yang tidak ketara seperti ini boleh dilakukan.
*Jika kulit, rambut, solekan dan warna semula jadi mata berton panas, anda mungkin mahu memilih kanta lekap berwarna hangat seperti hazel atau perang.
PADANKAN warna kanta lekap mengikut kesesuaian diri.
Bagaimana sekiranya pemakai kanta lekap ingin memakai alat solek?
*Cuci tangan sebelum mengendalikan kanta lekap dan elakkan daripada menggunakan sabun berbau wangi dan berubat.
*Masukkan kanta lekap ke mata sebelum mengenakan kosmetik. Bukan sahaja ia akan membantu anda melihat sapuan dengan lebih jelas, tetapi mengelakkan kanta daripada tercemar.
*Pembayang mata berbentuk krim atau cecair mempunyai kemungkinan yang lebih kecil memasuki mata berbanding serbuk. Namun demikian, ini tidak bermakna ia tidak boleh menyebabkan kepedihan jika memasuki kawasan mata. Pilih krim berasaskan air berbanding minyak.
*Jika anda gemarkan pembayang mata berbentuk serbuk, pastikan anda menutup mata semasa mengaplikasikannya. Kemudian, bersihkan lebihan serbuk sebelum membuka mata anda.
*Jangan mengenakan penggaris mata di bahagian dalam kelopak mata. Ia boleh melekat pada kanta lekap anda, menyebabkan pedih mata dan penglihatan yang kurang jelas.
Sungguhpun pemakaian kanta lekap menyerlahkan lagi warna mata anda, terdapat kelemahan dalam pemakaiannya.
*Saiz anak mata atau pupil berubah mengikut keadaan cahaya. Oleh itu, adakalanya saiz itu akan lebih besar daripada bahagian lut sinar tengah kanta.
*Sekiranya perkara tersebut berlaku, ia memberikan sedikit kesan pada penglihatan. Pemakaian kanta lekap juga boleh meletakkan anda dalam beberapa keadaan serius seperti jangkitan mata dan ulser kornea.
*Keadaan ini boleh terbentuk dengan pantas dan boleh menjadi serius. Oleh itu, sekiranya anda mengalami kerengsaan atau jangkitan pada mata, penting sekiranya anda mendapatkan rawatan daripada profesional dengan segera.