BERLABUH sudah tirai Akademi Fantasia musim keenam (AF6) yang berlangsung hujung minggu lalu. Marilyn sempat jugalah menonton secara langsung di Stadium Putra, Bukit Jalil meskipun tugasan menimbun di pejabat.
Memang ramalan segala bomoh dan pawang itu tepat belaka, si kecil molek, Stacy yang diumumkan menjadi juara AF6.
Wah, Marilyn tumpang gembira dan ucapkan tahniah atas kejayaan adik Stacy ye! Jangan terlebih lepas ni sudahlah ya Stacy!
Hari ni Marilyn bukan nak cerita pasal Stacy, tapi kisah Naib Juara, Riz dan pemenang tempat ketiga, Nubhan yang khabarnya dah mula menunjukkan cira-ciri akan buat perangai.
Amboi bukan main lagi ni. Baru beberapa hari terlepas daripada kurungan Akademi, sudah pandai pula buat perangai ya. Nak kenalah tu.
Menurut teman Marilyn yang berada di lokasi kejadian, setelah tamat sahaja sidang media secara ‘formal’ untuk AF6, biasalah wartawan semua berpusu-pusu untuk menemuramah artis baru kita ni. Bakal bintang katakan.
Biasalah selepas habis wawancara, wartawan pun mintalah nombor telefon mereka, mana tahu untuk buat temuramah lanjut, mana tahu ada terkurang informasi sana-sini.
Al-kisahnya, Riz langsung tidak mahu memberi nombornya dengan memberi pelbagai alasan termasuklah nombor telefonnya sudah tak digunakan lagi.
Siap bagi jawapan kurang bijak, katanya dia sendiri tak tahu sama ada nombor itu masih wujud ataupun tidak. Walaupun!
Manakala, Nubhan pula dalam keadaan tak keruan. Antara mahu beri atau pun tidak. Ish, selalu je adik ni kelihatan terkeliru! Susah sangat ke nak bagi nombor kat wartawan?
Mereka tu semuanya individu yang jalankan kerja sebagai pengamal media, bukan peminat setia atau fanatik pun. Yang Marilyn pasti, kami tak akan telefon artis malam-malam buta atau ganggu pada waktu yang tak sepatutnya.
Tiada maknanya wartawan ni nak hubungi kamu 24 jam semata-mata nak tanya khabar, dah makan ke belum, bila nak tidur ke?
Wartawan tak ada masa nak tahu aktiviti kalian okey. Tak sesuai tau. Paling lama kalau bercakap untuk sesi temuramah dalam telefon pun tak sampai 10 minit.
Kata teman Marilyn lagi, sebab terlampau bengang dan mula naik hantu, ada wartawan senior yang terpaksa ‘basuh’ mereka dengan menunjukkan nombor telefon beberapa artis terkenal yang berada dalam simpanan telefon bimbit mahalnya tu.
“Aku peliklah, mereka ini tak diberitahu ke bagaimana mahu berdepan dengan media? Mendapatkan nombor telefon artis menjadi amalan kebiasaan di kalangan wartawan hiburan.
“Kita bukan nak jual pun nombor telefon dia, apalah yang ditakutkan sangat.”
Itu baru sesi ‘mengemis’ nombor telefon, belum lagi yang lain-lain. Mengikut firasat dan naluri wanita Marilyn kan, mereka ni mengalami kejutan budaya gamaknya.
Selepas menerima nasihat ‘ala-ala manja’, akhirnya Nubhan dengan muka terpaksa memberikan saja nombor telefonnya, tapi tidak pula dengan adik gebu, Riz.
Sementara itu, Stacy, Nadia dan Toi dengan senang hati terus bagi nombor telefon mereka, malah kerjasama tiga bekas pelajar AF6 ini dengan wartawan memang cukup kelas!.
SUMBER : www.jiwang.org