BELLAGIO, ITALI, 15 OGOS 2008: Pelakon,
penyanyi dan pengacara jelita, Maya Karin Roelcke, 28, akhirnya selamat
diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya, Muhammad Ali Abdullah atau
Steven David Shorthose, 38, tepat jam 5 petang waktu tempatan (waktu
Malaysia 11 malam) semalam, 14 Ogos.
Maya dan Ali dinikahkan
oleh imam yang berasal dari Algeria, Imam Abdullah, bertempat di Villa
Corte de Lago, yang terletak berhampiran dengan pusat peranginan
terkemuka, Lake Como dengan bersaksikan 60 anggota keluarga terdekat
dan sahabat karib.
Maya yang mengenakan fesyen pengantin
rekaan Syaful Bahrim dan disolek oleh Khir Khalid dari Kuala Lumpur,
kelihatan sungguh anggun dan gembira.
Antara rakan selebriti yang hadir menyaksikan upacara itu
adalah pengarah Shuhaimi Baba, Kavita Kaur Sidhu, Yasmin Yusoff dan
Jeslina Hashim.
Sebelum ini, majlis pendaftaran nikah secara sivil telah diadakan pada 9 Ogos lalu juga di Itali.
Mengimbas detik pertemuan mereka, Maya dan Ali mula dipertemukan
kira-kira 7 tahun lalu ketika selebriti berdarah campuran Melayu-Jerman
itu, masih lagi bergelar hos untuk rancangan TV,
Wavelength. Ali
pula ketika itu mengajar sebagai guru matematik di Garden International
School yang secara kebetulan guru kepada adik Maya, Sarah. Ketika ini
Ali mengajar di Alice Smith School, Seri Kembangan.
Maya
berkata, suaminya itu menunjukkan kesungguhan untuk mendalami Islam
dan akhirnya memeluk agama yang suci itu sejak 4 tahun lalu. Mulai 2
tahun lalu, barulah mereka sama-sama merancang kehidupan sebagai suami
isteri.
Pasangan itu dijadual mengadakan majlis
resepsi dalam taman bertempat di Institut Penyelidikan Perhutanan
Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor, pada 29 Ogos ini.
Maya baru saja memenangi gelaran Aktres Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21) menerusi lakonannya dalam
Anak Halal. Dia akan membintangi sebuah lagi filem arahan Osman Ali berjudul
Pisau Cukur bersama Fazura tidak lama lagi.