"HATI saya sudah hancur... sukar untuk menerimanya kembali," demikian luahan pelakon terkenal, Abby Abadi, mengenai perkembangan terkini rumah tangganya yang berantakan berikutan kes tangkap khalwat membabitkan suaminya dan seorang pelakon remaja, baru-baru ini.
Abby atau nama sebenarnya, Arbaieyah Abdul Manan, 31, mengakui beliau sudah tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap suaminya selepas diperlakukan begitu dahsyat sekali sepanjang tempoh perkahwinan mereka.
"Lama sangat saya berada dalam keadaan ini hingga ke satu peringkat hati saya sudah 'mati' untuknya. Langsung tidak ada apa-apa perasaan terhadapnya. Kata putus dari saya, memang tidak boleh terima dia lagi. Saya tidak boleh lagi baik dengan dia dan menjadi teman hidupnya macam dulu.
"Cukuplah, saya tidak mahu lalui pengalaman itu. Saya yakin boleh hidup sendiri dengan anak-anak,” katanya dalam pertemuan bersama B*Pop, minggu lalu.
Malah, Abby dan tiga anaknya - Mohamad Danish Hakim, 5; Marissa Dania Hakim, 3, dan Maria Danisha Hakim, 3 bulan - turut mengharapkan kedatangan tahun baru tidak lama lagi membawa sinar baru kepada mereka sekeluarga.
"Sedih mengenangkan anak-anak yang masih kecil bila berlaku keadaan ini. Mereka tidak mengerti apa-apa. Namun, saya yakin boleh mengharungi kehidupan mendatang walaupun hanya tinggal kami tiga beranak.
"Yang penting, kedatangan tahun baru kali ini saya mahu menjadi 'orang baru', semua serba baru. Saya mahu 'refresh' banyak perkara. Saya tidaklah terlalu merancang tetapi saya mahu lebih fokus kepada kerjaya, dengan harapan diberikan lebih banyak ruang dan peluang tahun depan,” katanya.
Sambil menyifatkan kehidupannya sepanjang tahun ini cukup mencabar, beliau berkata, cukuplah apa yang sudah dilaluinya dan berharap apa saja peristiwa hitam yang menimpanya sebelum ini tidak akan berulang lagi.
"Cukuplah, saya tidak mahu lalui lagi apa yang saya lalui sepanjang 2008. Saya mahu tutup terus segala kenangan sepanjang tahun ini dan tidak mahu ingat-ingat lagi. Tahun 2009 menjelang tiba dengan semangat baru dan saya akan terus melangkah ke hadapan tanpa menoleh ke belakang," katanya.
Yakin boleh hidup sendiri
Pernah bercerai buat kali pertama dua tahun lalu, juga disebabkan kehadiran orang ketiga, dan kini sedang memfailkan perceraian buat kali kedua, antara peristiwa yang menjadikan kehidupan pelakon jelita ini cukup berwarna-warni.
Malah, kedua-dua peristiwa itu tanpa disedarinya, menjadikan beliau lebih cekal dalam mengharungi kehidupan.
"Apapun terjadi, hidup perlu diteruskan. Tidak bermakna bila berlakunya perceraian, hidup kita juga akan terhenti. Selepas bercerai buat kali pertama dulu, banyak benda saya pelajari walaupun tempoh perceraian itu cukup singkat.
"Ia menjadikan saya lebih tabah dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam kehidupan. Saya yakin boleh hidup sendiri dan anak-anak. Sudah pasti anak-anak akan sentiasa bersama saya. Kehadiran mereka sudah cukup membahagiakan saya," katanya.
Ditanya bagaimana boleh menerima kembali suaminya ketika bercerai kali pertama dulu, Abby berkata, keputusan itu didorong perasaan sayang terhadap pelakon berkenaan, namun ia tidak akan berulang untuk kali kedua.
"Cukuplah sekali itu saja. Dia tidak pernah menghargai saya sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Ingatkan selepas kejadian itu, dia akan ambil iktibar tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Cukuplah peluang yang sudah saya berikan kepadanya," katanya.
Terkejut baca ruangan gosip
Ibu muda ini turut memberitahu, betapa beliau terkejut membaca ruangan gosip dalam Metro Ahad, baru-baru ini mengenai seorang artis wanita yang sedang kemurungan disebabkan masalah peribadinya berfoya-foya di pusat hiburan bersama teman lelaki barunya.
Katanya, walaupun tidak dinyatakan secara terperinci identiti artis berkenaan, namun berdasarkan keterangan yang tertera dalam ruangan gosip itu, ia seolah-olah dituju kepada dirinya.
"Saya cuba menghubungi seorang teman wartawan (Harian Metro) untuk bertanya siapakah artis yang dimaksudkan. Bagaimanapun, jawapan diterima agak mengecewakan. Secara jujurnya saya mengakui, memang saya terasa ia (gosip) dituju kepada saya.
"Pada mulanya, memang saya malas mahu layan tetapi selepas beberapa teman rapat dan saudara mara menelefon untuk bertanya kebenaran gosip itu, mahu atau tidak terpaksa ambil tahu kerana ini membabitkan nama baik saya," katanya.
Namun, Abby menafikan beliau adalah artis yang dimaksudkan itu, malah tidak pernah melakukan apa-apa aktiviti negatif seperti tertulis dalam gosip berkenaan.
Sudah dapat kekuatan semula
"Saya tidak pernah merokok, minum (arak) jauh sekali. Saya tahu batasan agama. Yang penting, kalau benarlah saya tertekan sekalipun, ada banyak cara lain untuk mengatasinya, bukan melakukan perbuatan yang ditegah agama.
"Sebab itulah saya tampil memberikan kenyataan ini kerana mahu membersihkan nama baik saya. Saya mahu keluarga, teman-teman dan peminat percayakan saya. Kalau ada yang masih mempertikaikannya, saya cabar mereka tunjukkan bukti," katanya yang sedikit kesal.
Katanya, tidak mungkin beliau melakukan perbuatan negatif itu kerana menyedari kedudukannya sebagai seorang ibu, yang perlu menjadi contoh terbaik kepada tiga anaknya yang masih kecil.
"Banyak orang cakap saya murung sedangkan saya tidaklah rasa begitu. Alhamdulillah, saya sudah dapat menerima hakikat, malah mempunyai kekuatan mengharungi keadaan getir ini berkat sokongan keluarga dan teman rapat," katanya sambil berpesan supaya penulis gosip terbabit lebih bertanggungjawab terhadap penulisannya.
"Penulis gosip itu perlu berani mendedahkan siapa artis itu supaya orang ramai tidak mengaitkannya dengan saya. Sekarang maruah saya sedikit tercalar disebabkan gosip itu. Saya tidak kisah kalau gosip sekadar mengusik, bergurau atau mengkritik saya. Tetapi, kalau gosip menghentam dan menyentuh maruah saya, saya tidak boleh diamkan. Sebab itulah saya terpaksa tampil memberi penjelasan," katanya.