~forwarded by e-mail~
KISAH ANAK PEMOTONG RUMPUT - PEMENANG KATEGORI PELAKON KANAK2 TERBAIK FFM20
[size=9]
Malam 4 Ogos lalu, di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia,
Pulau Pinang,pelakon filem Mukhsin, Mohd. Syafie Naswip diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada acara gemilang Festival Filem Malaysia Ke-20 (FFM20).
Sejurus itu, seorang kanak-kanak berusia 15 tahun melangkah yakin ke pentas
penerima trofinya.
Dewan bergema dengan tepukan gemuruh penonton. Turut menyaksikannya, jutaan penonton Astro yang membuat siaran langsungnya.
Namun malam itu, nun di sudut hati Syafie, tercalit rasa hiba kerana
kejayaan itu tidak dapat dikongsi bersama ibu yang dikasihi.
"Rumah saya tak ada Astro. Saya dah telefon mak, nak beritahu, tapi tak
dapat," adunya tatkala Kak Tim bertanyakan, apa kata ibunya tentang
kemenangannya.
Memang sejak dari awal, kanak-kanak ini menarik perhatian Kak Tim.
Walaupun Finas menyediakan bas untuk membawa delegasi festival itu ke Pulau Pinang, tapi pelakon kanak-kanak lain, datang bersama anggota
keluarga masing-masing.
Cuma Syafie yang Kak Tim perhatikan,
bersendirian.
"Saya nak juga bawa emak. Tapi dia orang kata kena bayar," jelas Syafie selamba.
"Bapa kerja apa?" Tanya Kak Tim.
"Pemotong rumput. Kadang-kadang cat rumah orang juga," tulus dan bersahaja
dia menjawab.
"Tak sekolah?" Tanya Kak Tim lagi.
"Sekolah di Gombak. Tahun ini ambil PMR. Sebab itu hampir saja saya tidak
dapat ikut festival ni. Cikgu tak beri. Dia kata asyik shooting saja. Dia
bimbang, nanti saya tak dapat fokus PMR.
"Tapi saya merayu. Keluarga saya orang susah dan saya anak tunggal.
Shooting pun dapat duit. Hari tu, saya berlakon empat drama, dapat duit. Boleh juga bantu keluarga," kata Syafie.
"Berlakon filem Mukhsin dulu tu, saya dapat RM10,000. Saya bagi emak RM500
dan ayah RM500. Selebihnya saya simpan.
Saya nak jadi jurukamera filem. Nanti kalau nak ambil kursus tu tentu kena
pakai banyak duit. Nasiblah akhirnya cikgu izinkan saya ke festival."
Begitu cerita Syafie panjang lebar, lalu tersenyum menyerlahkan lesung
pipit di pipi kiri dan kanannya.
Dan pada pagi delegasi berkumpul di Finas untuk berangkat ke Pulau Pinang, Syafie merupakan orang pertama sampai di Finas.
"Saya tak tahu pukul berapa bas nak bertolak. Orang kata pagi. Jadi saya
tunggu ajalah. Nasib Finas sediakan nasi lemak"
Rupanya ada yang cerita pada Kak Tim, semasa rombongan berhenti makan tengahari di Tapah, Perak, Syafie tidak turut serta.
"Dia tertinggal duit," bisik sumber.
Kasihan. Tapi kanak-kanak itu ada harga diri. Dia tidak kelihatan sewaktu
orang sibuk menjamu selera di kawasan Rawat dan Rehat Tapah itu. Entah di mana dia menyembunyikan diri.
"Tak apa. Saya dah biasa macam tu," kata Syafie selamba disaat Kak Tim
tanyakan kenapa tak beritahu masalahnya.
"Tapi sekarang saya dah ada duit. Nek Mah (Ruminah Sidek) bagi. Masa sampai di lobby hotel, tiba-tiba Nek Mah bagi saya RM50." Sekali lagi
kanak-kanak ini menyerlahkan lesung pipitnya.
Dan sewaktu perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. ketika bas singgah di
Hentian Sungai Perak, Kak Tim tengok Syafie membeli sebiji limau bali. "Duit yang Nek Mah bagi, masih ada baki. Limau ni saya beli untuk mak.
Buah
tangan," katanya tersenyum.
Sampai di Finas, Syafie dijemput ayahnya. Dia bukan saja membawa pulang
trofi dan buah limau untuk ibunya. Tapi wang hadiah kemenangannya sebanyak RM10,000.
Itulah Mohd. Syafie Naswip, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik FFM20 yang cuba
mencari pengalaman sebagai pelakon untuk menjadi jurukamera filem bagi merubah kehidupan keluarganya.