KUALA LUMPUR: Suzuki Malaysia Automobile Sdn Bhd hari ini memperkenal versi standard dan 'sporty' Suzuki Kizashi 2.4L yang diimport, kepada pasaran Malaysia.
Pelancaran bagi pihak media di sini menandakan kemasukan Suzuki ke dalam kategori segmen D pasaran automotif atau segmen sedan sporty dan anggun, sekali gus menambah barisan model yang ditawarkannya selain segmen kereta kecil.
Timbalan Pengarah Urusan, Shinya Yokokawa, berkata Suzuki Kizashi 2.4L SDLX yang dijual pada harga RM147,888 dengan perlindungan insurans selama setahun, dan Kizashi 2.4L Sport yang berharga RM158,188 dengan perlindungan insurans setahun itu akan menjadi kenderaan utama baharu dalam kategori segmen D.
"Sedan baru yang sporty dan anggun ini akan memperluas dan memperkukuh rangkaian produk kereta kompak dan kenderaan utiliti sukan syarikat ini sekarang.
"'Kizashi' berasal daripada perkataan Jepun yang bererti 'tanda perkembangan hebat pada masa akan datang'," kata Yokokawa.
Penasihat Eksekutif Suzuki Malaysia Automobile, Kenjiro Matsumoto, berkata model Kazashi dilancarkan di Jepun pada 2009 tetapi kelewatan memasuki pasaran Malaysia adalah kerana Suzuki mahu bertapak lebih kukuh dalam kalangan peniaganya di sini terlebih dahulu.
Hingga kini, Suzuki telah menjual 28,000 unit model itu di seluruh dunia sejak 2009.
Suzuki Malaysia Automobile adalah pengedar sah kereta Suzuki sejak 2005.
Suzuki Motor Corporation dan Itochu Corporation menandatangani perjanjian usaha sama dengan DRB-Hicom pada 2008 dengan nisbah pegangan saham 40:20:40 untuk memperkukuh kedudukan dan memperkenal kereta Suzuki di Malaysia. - BERNAMA
sumber; http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SuzukiMalaysialancarSuzukiKizashiyang_sporty_/Article