TEBUSAN yang cedera dirawat di hospital hari ini selepas dibebaskan dari Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) Amenas, Algeria yang diserang kumpulan bersenjata Islam, Rabu lalu. - Foto Reuters
MANILA: Seorang pekerja Filipina yang dijadikan tebusan oleh kumpulan bersenjata yang menawan loji gas di Algeria, muncul di kaca televisyen tempatan menceritakan bagaaimana dia berjaya meloloskan diri.
Jojo Balmaceda, pekerja di syarikat gergasi minyak British, BP dan tiga rakan senegaranya ditahan sebaik tiba di tempat kerja, Rabu lalu.
Mereka diikat dan dicampak ke dalam trak bersama tebusan dari Jepun, Malaysia, lapor stesen telvisyen GMA, hari ini.
Balmaceda berjaya menyelamatkan diri apabila trak berkenaan terkena bahan letupan tetapi kepalanya cedera akibat serpihan letupan yang menjejaskan pendengarannya.
“Selepas itu saya lari kerana takut trak itu akan meletup. Selepas itu saya tidak sedarkan diri dan apabila bangun saya dapati sudah berada di hospital," katanya dalam perbualan telefon ringkas itu.
“Saya harap dapat menaiki pesawat untuk balik (ke Filipina) esok," katanya.
GMA berkata, temubual itu dibuat dengan Balmaceda sebelum beliau diterbangkan ke London.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Negara Filipina, Raul Hernandez berkata, semua 34 pekerja Filipina yang diselamatkan dari lapangan gas di Algeria kini dalam perjalanan pulang ke Filipina. - AFP
sumber:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TebusanFilipinaceritakanpengalamanlaridaripenculik/Article/