Johor Bahru: “Tidak apa, biar emak saya duduk di sini, bukannya salah duduk di sini,” kata seorang daripada dua anak yang ditanya kenapa meninggalkan ibu mereka yang berumur 60 tahun gelandangan di hentian bas sekitar bandar raya ini sejak setahun lalu.
Dua wanita itu berumur 30-an dan 40-an kini bekerja serta tinggal di Singapura.
Penjaja yang enggan dikenali berkata, warga emas itu dikenali sebagai Raodah menjadi perhatian ramai, malah ada yang memberinya makanan serta wang.
“Anaknya berperwatakan tomboi dan perbuatannya itu ditegur ramai penjaja di sini namun tidak dihiraukan. Mereka datang sebulan sekali untuk meninggalkan sedikit wang belanja.
“Mereka meninggalkannya dengan alasan dia kesunyian di rumah berikutan mereka di Singapura,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Manayi Ibrahim berkata, pihaknya mengenal pasti warga emas itu ketika melakukan operasi mencegah pengemis serta kutu rayau di sekitar bandar raya ini hujung minggu lalu.
“Dalam operasi itu, kami mengenal pasti 11 individu yang hidup gelandangan membabitkan tiga wanita dan lapan lelaki dewasa.
“Amat mengejutkan seorang wanita berusia 63 tahun menyatakan dia hidup gelandangan di hentian bas kerana anak perempuannya bekerja di Singapura.
“Dia memberitahu berbuat demikian kerana dipaksa anaknya,” katanya.
sumber:http://www.hmetro.com.my/articles/2013042308375920130423083759/Article