ISTANBUL, Turki - Penyanyi remaja terkenal, Justin Bieber mendapat banyak pujian daripada para pengguna Twitter selepas dia sanggup menghentikan persembahannya sebanyak dua kali semata-mata mahu menghormati azan yang sedang berkumandang di sini, lapor portal berita Hollywood Life semalam.
Bieber yang berusia 19 tahun menghormati azan itu semasa dia membuat persembahan dalam konsertnya pada 2 Mei lalu.
Menurut laporan portal berita E!Online, para peminat penyanyi tersebut terkejut dan berasa gembira dengan tindakan Bieber itu.
Seorang pengguna Twitter menyatakan, dia menaruh rasa hormat terhadap penyanyi itu selepas mendengar Bieber menghentikan persembahan sebanyak dua kali bagi menghormati azan.
Menurut seorang lagi pengguna laman tersebut, terdapat beberapa artis Arab yang tidak menghentikan persembahan mereka bagi menghormati azan yang sedang berkumandang.
Selepas persembahan itu, Bieber membuat kenyataan di laman Twitter dengan menyatakan, Dubai di Emiriah Arab Bersatu bakal menjadi destinasi konsertnya selepas Turki. - Agensi
sumber;http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm