KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menubuhkan skuad khas bagi mengesan umat Islam di negeri itu yang didapati makan dan minum secara terbuka pada bulan Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata skuad itu akan menjalankan rondaan di lokasi-lokasi tertentu termasuk premis makanan bagi membanteras aktiviti tidak bermoral pada bulan mulia itu.
"Mereka yang didapati bersalah kerana gagal menjalankan ibadah puasa akan dikenakan tindakan tegas seperti termaktub di bawah undang-undang syariah JAIP," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah anggota Dewan Undangan Negeri Pahang di sini hari ini.
Katanya tindakan yang sama juga akan diambil terhadap mana-mana premis makanan yang didapati menjual makanan serta minuman kepada umat Islam kerana bersuhabat.
Mengulas mengenai penggunaan shisha di Pahang, Syed Ibrahim berkata perkara tersebut tidak perlu menunggu fatwa dikeluarkan sekiranya ia membawa keburukan kepada penghisapnya.
"Kita bersetuju dengan tindakan kerajaan Perlis mengharamkan penggunaan shisha, namun saya berpendapat pendidikan awal terhadap pengguna perlu diberikan supaya mereka mengetahui kesan penggunaannya sebelum sebarang penguatkuasaan dibuat," katanya. - Bernama