[url=mailto://][/url]
COLUMBIA: Selebriti rancangan bual bicara terkenal, Oprah Windfrey menyatakan kesediaan membantu dan menyokong calon jawatan presiden Barack Obama yang bersaing dengan Senator Hillary Clinton bagi mendapatkan undi penduduk kulit hitam di negara itu.
Oprah yang sejak sekian lama menjadi contoh kejayaan rakyat kulit hitam Amerika, berharap popularitinya membantu Obama muncul sebagai calon presiden parti Demokrat.
“Kita tidak patut hanya bermimpi, tetapi mesti berusaha menjadikan impian itu kenyataan,” kata Oprah di hadapan beribu-ribu penyokong yang berhimpun di stadium bola sepak Columbia di Selatan Carolina semalam, merujuk ucapan pemimpin kulit hitam Amerika Martin Luther King bertajuk I have dream.
“Masa sudah sampai bagi seseorang seperti Barack Obama berada pada kedudukan itu,” katanya.
Oprah turut memuji Obama yang menurut beliau seorang yang berwibawa dan bersikap prihatin terhadap kebajikan rakyat biasa.
Pemerhati berkata, peminat Oprah, terutama wanita boleh membantu Obama ketika senator itu bersaing dengan Hillary, manakala di Selatan Carolina, selebriti itu mampu meningkatkan penyokongnya.
Penduduk kulit hitam dijangka mewakili separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi di Selatan Carolina pada pemilihan 26 Januari depan, tiga minggu selepas pengundian pembukaan yang bermula di Iowa.
Dalam kempen paling rancak bagi merebut jawatan tertinggi Rumah Putih itu, Oprah dan senator dari Illinois itu mengadakan dua perhimpunan di Iowa, Sabtu lalu sebelum menuju ke New Hampshire.
Penyokong Obama menganggarkan mereka yang datang untuk mendengar ceramahnya berjumlah 29,000 orang dan berkata, jumlah itu paling ramai dalam kempennya setakat ini. - Reuters